Affin Hwang mulakan liputan UWC dengan saranan 'Beli', AI dan pusat data pacu pertumbuhan jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Affin Hwang mulakan liputan UWC dengan saranan 'Beli', AI dan pusat data pacu pertumbuhan jangka panjang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Hwang) memulakan liputan terhadap UWC Bhd dengan saranan 'Beli' pada harga sasaran RM8.30, didorong prospek pertumbuhan kukuh hasil ledakan pelaburan infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pusat data serta pengembangan strategik syarikat ke dalam pasaran peralatan fabrikasi wafer (WFE).

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan pesat infrastruktur AI di seluruh dunia sedang mencetuskan kitaran pelaburan baharu dalam industri semikonduktor apabila permintaan kini beralih daripada elektronik pengguna kepada hyperscaler dan pusat data.

 

Perkembangan itu dijangka memastikan momentum tempahan UWC kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Menurut Affin Hwang, UWC berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang tersebut menerusi hubungan jangka panjang dengan dua pelanggan utamanya, selain program integrasi sistem bersama Pelanggan V, yang dijangka meningkatkan nilai tambah pembuatan dan memperkukuh hubungan dengan pelanggan.

 

"Kami melihat UWC sebagai antara penerima manfaat utama daripada peningkatan perbelanjaan AI global memandangkan syarikat terus memperluaskan kandungan pembuatannya dalam rantaian bekalan semikonduktor," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Permintaan Meningkat Tiga Kali Ganda

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan daripada Pelanggan T, iaitu pengeluar peralatan ujian semikonduktor (OEM) yang membekalkan pasaran pemecut AI, telah meningkat lebih tiga kali ganda.

 

Jumlah pengeluaran pengendali ujian (test handler) meningkat daripada hanya lapan unit seminggu pada pertengahan 2025 kepada kira-kira 25 unit seminggu ketika ini, mencerminkan peningkatan ketara dalam permintaan pasaran AI.

 

Dalam masa sama, aliran tempahan daripada Pelanggan I dijangka kembali pulih apabila beban kerja AI semakin beralih kepada aplikasi inferens dan AI ejen (agentic AI).

 

Menurut Affin Hwang, perubahan itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap unit pemprosesan pusat (CPU) selain unit pemprosesan grafik (GPU), sekali gus menyokong kitaran naik taraf pelayan CPU generasi baharu.

 

"Perkembangan ini dijangka memacu pemulihan tempahan daripada Pelanggan I dan mengukuhkan lagi prospek segmen pembuatan bahagian belakang (back-end manufacturing) UWC," katanya.

 

Bagi pertumbuhan jangka panjang, Affin Hwang berkata, pengembangan strategik UWC ke dalam pasaran Wafer Fabrication Equipment (WFE) dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan struktur syarikat.

 

Peralatan Semikonduktor Global

Menurutnya, segmen WFE mewakili kira-kira 87% daripada keseluruhan perbelanjaan global bagi peralatan semikonduktor pada 2025, jauh lebih besar berbanding segmen pemasangan, pembungkusan dan ujian bahagian belakang yang hanya menyumbang 13%.

 

"Ini membuka peluang pasaran yang jauh lebih besar kepada UWC untuk meningkatkan skala perniagaannya," katanya.

 

Affin Hwang menjangkakan sumbangan hasil daripada segmen WFE akan meningkat daripada 31% pada FY25 kepada 46% menjelang FY28, didorong pelaksanaan program baharu serta peningkatan kandungan pembuatan.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan memulakan liputan terhadap UWC dengan saranan 'Beli' dan harga sasaran RM8.30, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 46 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kalendar 2027. - DagangNews.com