Ledakan pembangunan Semenyih-Beranang buka peluang besar kepada EcoWorld, SP Setia - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ledakan pembangunan Semenyih-Beranang buka peluang besar kepada EcoWorld, SP Setia - UOBKH

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Kawasan sekitar Semenyih-Beranang dilihat berpotensi menjadi antara kawasan pertumbuhan hartanah paling pesat dalam Ulu Langat, disokong peningkatan pendapatan penduduk, pembangunan bandar baharu berskala besar serta penambahbaikan infrastruktur yang berterusan.

 

UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, perkembangan positif kawasan itu dijangka menyokong permintaan kediaman dalam tempoh jangka panjang, sekali gus memberi manfaat kepada pemaju hartanah seperti Eco World Development Group Bhd dan SP Setia Bhd yang mempunyai pegangan tanah luas di kawasan tersebut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil lawatan ke pameran bandar baharu Eco Radiance milik EcoWorld Malaysia serta projek pembangunan SP Setia di sepanjang koridor Semenyih dan Bangi menunjukkan prospek pertumbuhan kawasan berkenaan kekal memberangsangkan.

 

Menurutnya, Semenyih-Beranang kini muncul sebagai subkoridor paling pesat berkembang dalam Ulu Langat, dengan ekosistem komersial yang semakin berkembang serta peningkatan kumpulan pembeli yang mempunyai kuasa beli lebih tinggi.

 

Semenyih Bukan Lagi Sekadar Lokasi Rumah Mampu Milik

UOBKH berkata, pertumbuhan Semenyih kini tidak lagi hanya bergantung kepada faktor kemampuan harga rumah, sebaliknya kawasan itu semakin menarik minat golongan pembeli yang mencari kediaman berkualiti dalam persekitaran bandar terancang.

 

Katanya, perkembangan tersebut disokong oleh peningkatan populasi serta jaringan pengangkutan yang semakin baik, termasuk Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK).

 

“Majlis Perbandaran Kajang mengunjurkan populasi kawasan pentadbirannya berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 4.5% dalam tempoh 10 tahun, daripada 265,900 orang pada 2025 kepada 413,000 orang menjelang 2035.

 

“Pertumbuhan ini disokong oleh pembangunan bandar baharu terancang berskala besar serta peningkatan hubungan jalan raya,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

t

 

Selain itu, firma tersebut berkata Ulu Langat turut menarik isi rumah dengan keupayaan pendapatan lebih tinggi apabila pendapatan purata isi rumah meningkat pada kadar CAGR 6.2% dalam tempoh lima tahun kepada RM13,822 pada 2024.

 

Jumlah itu lebih tinggi berbanding pertumbuhan pendapatan isi rumah Selangor yang meningkat pada kadar CAGR 4.2% kepada RM13,296 berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Perubahan profil pembeli itu turut diterjemahkan menerusi corak transaksi hartanah apabila transaksi kediaman bernilai melebihi RM800,000 meningkat lebih pantas pada kadar CAGR 4.6% antara 2020 hingga 2025 berbanding pertumbuhan 2% bagi transaksi di bawah RM800,000 berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).


EcoWorld Miliki Landasan Pembangunan Sehingga 10 tahun

Bagi EcoWorld Malaysia, UOBKH Research berkata kumpulan itu memiliki lebih 2,400 ekar (971 hektar) tanah di sepanjang koridor Semenyih yang menyediakan tempoh pembangunan antara lapan hingga 10 tahun.

 

Menurutnya, projek terbaharu EcoWorld Malaysia iaitu Eco Radiance, mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM4.6 bilion melibatkan kawasan seluas 847 ekar (343 hektar) yang dirancang sebagai sebuah bandar baharu lengkap dengan komponen kediaman, komersial dan rekreasi.

 

Pembangunan itu merangkumi kawasan kediaman bertanah, hab komersial Radiance City seluas 73 hektar (180 ekar), Radiance Labs serta taman utama berkeluasan 5.5 hektar (13.5 ekar).

 

Presint kediaman pertama projek itu, Astrea, akan menawarkan rumah teres berstatus strata dengan keluasan binaan antara 1,700 kaki persegi hingga 2,300 kaki persegi merangkumi empat konfigurasi.

 

Harga indikatif bagi kediaman tersebut adalah antara melebihi RM680,000 hingga RM1 juta, atau kira-kira RM400 setiap kaki persegi.

 

Eco Radiance disasarkan dilancarkan pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4Q26) dan dijangka menyokong momentum jualan EcoWorld Malaysia sehingga tahun kewangan 2027 (FY27).

 

UOBKH Research berkata, EcoWorld Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan RM4.8 bilion bagi FY26, meningkat 6% berbanding tahun sebelumnya, selepas mencatat jualan RM3.28 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama FY26.

 

t
Setia EcoHill

 

SP Setia Terus Kukuh Dengan Kepelbagaian Produk

Sementara itu, UOBKH berkata SP Setia mempunyai kelebihan menerusi kepelbagaian produk yang mampu memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pembeli.

 

Kumpulan itu mempunyai tapak pembangunan seluas 2,623 ekar (1,062 hektar) di koridor Semenyih dan Bangi yang merangkumi Setia EcoHill, Setia EcoHill 2, Setia Mayuri dan Setia Alamsari.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,231 ekar (498 hektar) masih belum dibangunkan dan mampu menyokong pembangunan lebih 10 tahun akan datang.

 

Menurut UOBKH, lawatan ke projek SP Setia menunjukkan bagaimana rangkaian produk kumpulan itu direka bagi memenuhi keperluan pembeli berbeza, daripada golongan pembeli pertama hingga mereka yang mahu menaik taraf kediaman.

 

Antara contoh perubahan permintaan pembeli ialah pengenalan presint Queensville di Setia EcoHill yang menawarkan banglo setingkat, sebahagiannya sebagai tindak balas terhadap permintaan golongan pesara yang mahu mengecilkan saiz kediaman tetapi masih memilih rumah bertanah.

 

Sektor Hartanah Kekal Pilihan UOBKH

Secara keseluruhan, UOBKH mengekalkan pandangan positif terhadap sektor hartanah dengan penarafan “Overweight” dan memilih EcoWorld Malaysia serta Lagenda Properties Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor tersebut.

 

UOBKH Research turut mengekalkan saranan “beli” bagi EcoWorld Malaysia, Lagenda Properties dan SP Setia dengan harga sasaran masing-masing RM2.70, RM1.88 dan RM1.22.

 

Menurutnya, pemilikan tanah yang besar, pembangunan perbandaran  berterusan serta peningkatan kemakmuran penduduk menjadikan Semenyih-Beranang sebagai kawasan yang berpotensi mencatat pertumbuhan hartanah mampan dalam tempoh panjang. - DagangNews.com