RHB Research kekal saranan 'Beli' saham TNB disokong potensi raih tender NEWGEN26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research kekal saranan 'Beli' saham TNB disokong potensi raih tender NEWGEN26

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 10 Julai - Permintaan yang terus kukuh daripada industri pusat data dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam beberapa tahun akan datang, sekali gus meningkatkan perbelanjaan modal (capex) syarikat bagi memenuhi keperluan bekalan tenaga yang semakin berkembang, menurut RHB Research.

 

Malah, prospek TNB kata firma itu dijangka menjadi lebih positif sekiranya syarikat utiliti nasional itu berjaya memenangi bidaan untuk membangunkan loji janakuasa gas baharu di bawah program New Generation Capacity 2029-2031 (NEWGEN26), yang dianggarkan mampu menambah sekitar 5% kepada penilaian harga sasaran sahamnya.

 

Pada masa sama, jangkaan penurunan kadar cukai efektif dalam beberapa suku akan datang turut dilihat mampu menyokong pertumbuhan keuntungan syarikat.

 

"Susulan prospek tersebut, kami mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham TNB dengan harga sasaran (TP) RM16.50, menawarkan potensi kenaikan kira-kira 15% daripada paras semasa selain hasil dividen sekitar 4%," kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Pandangan itu dibuat selepas sesi pertemuan bersama pengurusan kanan TNB yang memberikan perkembangan terkini mengenai pertumbuhan pusat data, rancangan penambahan kapasiti penjanaan serta prospek operasi syarikat.

 

Sehingga kini, TNB telah memperoleh kontrak bekalan elektrik bagi 59 projek pusat data dengan kapasiti keseluruhan 8.3GW, manakala 36 projek telah disiapkan dan mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 4.5GW.

 

Kesemua projek tersebut beroperasi di bawah perjanjian take-or-pay untuk tempoh lima tahun pertama, membolehkan TNB memperoleh semula keseluruhan perbelanjaan modal yang dilaburkan.

 

Daripada keseluruhan projek itu, sebanyak 72% disumbangkan oleh pelanggan dari Amerika Syarikat dan Singapura, manakala 68% daripada kapasiti pusat data berkenaan tertumpu di Johor yang kini muncul sebagai hab utama pembangunan pusat data negara.

 

TNB Kabel

 

Sasar Tambah 1GW Kapasiti Setiap Tahun

Menurut pengurusan, pertanyaan daripada pelabur pusat data kekal memberangsangkan dan syarikat mengekalkan sasaran untuk menambah kira-kira 1GW kapasiti baharu setiap tahun bagi memenuhi pertumbuhan permintaan.

 

Bagi menyokong pertumbuhan penggunaan tenaga tersebut, TNB menyasarkan untuk menambah 11.8GW kapasiti penjanaan baharu menjelang 2033, bagi menggantikan 6.6GW kapasiti yang dijadualkan ditamatkan operasi.

 

Langkah itu dijangka mewujudkan lebihan kapasiti sekitar 5.2GW, sekali gus memastikan margin rizab penjanaan kekal mencukupi bagi menampung pertumbuhan permintaan elektrik khususnya daripada sektor pusat data.

 

Sebagai persediaan, TNB telah memperoleh enam turbin gas, termasuk dua unit yang akan digunakan bagi loji janakuasa Paka berkapasiti 1.4GW yang dimenangi menerusi tender NEWGEN25.

 

Syarikat itu juga telah mengemukakan bidaan bagi tender NEWGEN26 yang ditutup pada 1 Julai lalu.

 

Dengan sasaran kerajaan untuk menambah sekitar 6GW kapasiti penjanaan baharu menjelang 2030, RHB Research percaya TNB berada dalam kedudukan kukuh untuk muncul antara pemenang utama tender tersebut.

 

Sekiranya berjaya memperoleh projek baharu berkapasiti 1.4GW, nilai saksama saham TNB dianggarkan mampu meningkat sekitar 5% berbanding unjuran semasa.

 

Kadar Cukai Efektif

Dari sudut keuntungan, walaupun kadar cukai efektif (ETR) meningkat kepada 31% pada suku pertama 2026, pihak pengurusan masih mengekalkan unjuran ETR tahunan pada paras 23% hingga 24%.

 

Pengurusan menjangkakan kadar cukai akan beransur menurun menjelang penghujung tahun berikutan perbincangan yang sedang berlangsung dengan pihak berkuasa berhubung pelaksanaan insentif cukai.

 

RHB Research turut mengekalkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 tanpa sebarang perubahan.

 

Harga sasaran RM16.50 ditentukan berdasarkan penilaian 19 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2026, termasuk diskaun ESG sebanyak 2%, yang dianggap wajar memandangkan TNB merupakan antara penerima manfaat terbesar daripada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta menikmati rangka kerja kawal selia yang menyediakan aliran pendapatan stabil.

 

Malah, sekiranya TNB berjaya mengekalkan kadar cukai efektif sekitar 23% tahun ini berbanding andaian asas sebanyak 26%, penganalisis menganggarkan terdapat lagi potensi kenaikan sekitar 4% terhadap harga sasaran serta unjuran pendapatan syarikat.

 

Antara risiko utama yang terus dipantau ialah pelaksanaan cukai karbon, kelewatan kelulusan perbelanjaan modal serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi daripada jangkaan pasaran. - DagangNews.com