KUALA LUMPUR 2 Okt – Sektor perbankan tempatan diramal mencatatkan peruntukan kehilangan pinjaman yang mencecah RM1.2 bilion pada tempoh suku ketiga 2025, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, jumlah berkenaan sebenarnya mewakili peningkatan secara ketara antara 12% hingga 35% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu sebanyak RM887.7 juta.
Bagaimanapun katanya, peningkatan ini tidak menandakan kemerosotan dalam kualiti aset, apabila nisbah pinjaman terjejas kasar industri perbankan Malaysia turun sedikit sebanyak 1 mata asas.
"Ia didapati susut kepada kira-kira 1.43% setakat Ogos 2025, berbanding 1.44% pada akhir Disember 2024," kata CGSI dalam satu nota kajiannya mengenai saham-saham sektor perbankan negara ini.
Pada masa sama, walaupun terdapat kebimbangan terhadap kesan negatif tarif Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeksport tempatan, ia tidak melihat sebarang retakan ketara dalam kualiti aset bank.
Menurutnya, pertumbuhan pinjaman keseluruhan industri perbankan kekal stabil pada kadar 5.4% tahun ke tahun (YoY) pada akhir Ogos 2025, sejajar unjuran firma itu antara 4.5% hingga 5.5% bagi FY25.
Kata CGSI, pertumbuhan pinjaman perniagaan naik kepada 5.2% YoY pada Ogos, berbanding 4.9% pada Julai, manakala pinjaman isi rumah mencatat sedikit penurunan kepada 5.7% daripada 5.8% sebelumnya.
"Berdasarkan rekod pertumbuhan bulanan antara 0.3% hingga 0.4%, kami menganggarkan pertumbuhan pinjaman industri pada September 2025 juga kekal sekitar 5.3% hingga 5.4%," tambah firma berkenaan.
Ia terus mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan, didorong potensi penulisan semula peruntukan pengurusan dan jangkaan kenaikan kadar pembayaran dividen bagi kebanyakan bank.
Dengan rizab peruntukan masih tinggi, CGSI menjangkakan beberapa bank akan memulakan langkah penulisan semula dalam tempoh terdekat, dalam usaha menyokong keuntungan dan dividen mereka.
Antara saham pilihan utama firma penyelidikan tersebut dalam sektor ini termasuk Hong Leong Bank, RHB Bank, dan CIMB Group Holdings, namun ia mengingatkan ada risiko utama terhadap bank tempatan.
"Ini termasuk isu kemerosotan secara mendadak dalam pertumbuhan pinjaman serta potensi penyusutan kualiti aset sekiranya tekanan makroekonomi masih berlanjutan," katanya. - DagangNews.com








