KUALA LUMPUR 20 April — Kegagalan Inari Amertron Berhad memuktamadkan pengambilalihan Lumileds mencetuskan penilaian semula dalam kalangan penganalisis dengan pelbagai reaksi bercampur-campur.
Cadangan itu tidak memperoleh kelulusan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), serta menggagalkan usahanya untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen pencahayaan LED automotif global.
RHB Research dalam notanya, mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.01 berbanding RM1.81 sebelum ini, menawarkan potensi kenaikan sekitar 22%.
"Penamatan urus niaga itu dilihat sebagai neutral terhadap asas fundamental, memandangkan urus niaga pengambilalihan tersebut tidak pernah dimasukkan dalam unjuran pendapatan Inari," katanya.
Bagaimanapun, firma itu menganggapnya sebagai positif dari sudut sentimen pasaran, kerana sebelum ini pelabur berhati-hati terhadap risiko pelaksanaan dan pulangan daripada transaksi tersebut.
Justeru, RHB Research menjangkakan tahun kewangan 2026 (FY26) syarikat itu adalah kekal mencabar berikutan pengurangan peruntukan komponen frekuensi radio (RF) serta kesan penyusutan dolar AS.
Sebaliknya pula ujarnya, FY27 dijangka lebih kukuh, disokong beberapa pemangkin utama termasuk kitaran telefon pintar baharu dengan modem 5G dalaman dan peningkatan model telefon boleh lipat.
"Selain itu, kepelbagaian pembekal dalam industri RF dan segmen data komunikasi dijangka terus berkembang, didorong permintaan terhadap cip laser bagi pusat data (DC) cekap tenaga," jelasnya.

Sementara itu, Public Investment Bank melihat kegagalan urus niaga tersebut sebagai 'rahmat tersembunyi' kerana mengelakkan Inari daripada menanggung kerugian Lumileds dalam tempoh yang terdekat.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan ‘neutral’, tetapi menaikkan TP sesaham kepada RM1.54 daripada RM1.48 sebelum ini setelah mengurangkan premium risiko syarikat.
Menurutnya, pengambilalihan itu sekiranya diluluskan pihak berkuasa AS, tidak dijangka menyumbang kepada pendapatan dalam jangka pendek, malah berpotensi pula menjejaskan prestasi kewangannya.
“Penamatan ini membolehkan Inari menumpukan semula sumber kepada pelaburan strategik lain, khasnya dalam teknologi pembungkusan termaju yang memerlukan belanja modal tinggi,” kata PublicInvest.
Ia turut menjangkakan segmen optoelektronik menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan sumbangan hasil dijangka meningkat kepada 38% menjelang FY27 hingga FY28 berbanding sekitar 30% sebelum ini.
Firma itu bersetuju kegagalan urus niaga itu berpunca daripada kebimbangan keselamatan nasional di AS, sejajar dengan ketegangan geopolitik yang melibatkan pemindahan teknologi dan harta intelek.
PublicInvest menambah, langkah penamatan urus niaga tersebut sebenarnya langsung tidak menjejaskan kedudukan kewangan Inari, bahkan membuka ruang untuk strategi pertumbuhan yang lebih terfokus.
"Risiko namun adalah kekal termasuk faktor permintaan lemah peranti berteknologi 5G, pembaharuan kontrak pelanggan, hasil pengeluaran rendah serta turun naik kadar pertukaran asing," katanya.
Secara keseluruhan, hala tuju kumpulan itu kini kembali tertumpu kepada pemangkin organik, dengan pasaran memberi perhatian kepada potensi pemulihan prestasi menjelang FY27. - DagangNews.com








