KUALA LUMPUR 6 Mac — Kedudukan tunai Mega First Corporation Berhad dijangka meningkat ketara sehingga RM1 bilion pada 2026 berbanding RM466 juta sebelum ini, menurut Public Investment Bank.
Lonjakan tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, susulan langkah kumpulan itu mula aktif merasionalisasi perniagaan yang bukan teras dan strategi pemeliharaan tunai secara lebih agresif.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada perancangan bagi menumpukan sumber kepada segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) serta menyediakan modal bagi projek tenaga berskala besar pada masa depan.
"Mega First merancang sama ada mengurangkan pelaburan atau keluar daripada beberapa perniagaan bukan teras, selain memperkukuh operasi RE sebagai fokus strategik syarikat," kata PublicInvest.
Menerusi nota analisisnya hari ini, firma penyelidikan itu berkata, dengan kedudukan tunai lebih kukuh, tahap penggearan atau hutang bersih kumpulan berkenaan dijangka mampu menurun ke paras minimum.
Dalam segmen RE, dua turbin di loji hidro Don Sahong di Laos kini menjalani kerja baik pulih dan dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan dengan kos berjumlah AS$4 juta (RM15.8 juta).

Walaupun langkah itu menurunkan sedikit faktor ketersediaan tenaga (EAF) bagi FY26 berbanding 83.1% pada FY25, kesannya dijangka diimbangi oleh langkah pelarasan tarif hidro kepada 6.05 sen.
"Pada masa sama, pentauliahan dua loji solar berskala besar dengan kapasiti keseluruhan 62.4MWp menjelang suku kedua 2026, diramal membantu Mega First dalam EAF di Laos," jelas PublicInvest.
Kumpulan itu turut meneroka beberapa peluang RE baharu termasuk projek empangan hidro di Sarawak, projek hidro di Laos, projek tenaga angin di Kemboja dan projek tenaga bersih di seluruh Malaysia.
Ini katanya, termasuk sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dan projek solar berskala besar (LSS) dengan nilai pelaburan bagi projek-projek yang sedang ditinjau itu dianggarkan RM1 bilion.
Mega First tambah PublicInvest, turut mempertimbangkan pilihan seperti keluar daripada pelaburan, mengurangkan komitmen atau memisahkan unit bagi beberapa perniagaan yang kurang berprestasi baik.
"Antara telah dikenal pasti kumpulan ini ialah operasi oleokimia menerusi syarikat usaha sama dengan Edenor, ladang kelapa di Kemboja serta projek pertanian rumah hijau," kata firma itu.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'outperform' ke atas syarikat ini dengan harga sasaran (TP) berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) yang disemak kepada RM5.12 sesaham. - DagangNews.com








