Kedudukan Sunview bagi 18MFY25 terus mengecewakan, dua firma penyelidikan kekal berwaspada | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedudukan Sunview bagi 18MFY25 terus mengecewakan, dua firma penyelidikan kekal berwaspada

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 DisSunview Group Berhad terus mencatat kedudukan kewangan yang mengecewakan bagi 18MFY25, dengan dua firma penyelidikan mengekalkan nada berhati-hati terhadap prospek syarikat.


TA Securities menilai keputusan itu sebagai lemah, selepas kumpulan itu mencatat kerugian bersih teras RM0.8 juta bagi 6QFY25 dan keuntungan teras hanya RM3.9 juta bagi tempoh selama 18 bulan.


Firma itu menyatakan kelemahan berpunca daripada margin lebih rendah daripada jangkaan dan kadar cukai efektif yang tinggi, termasuk perbelanjaan tidak boleh ditolak dan cukai tukaran wang asing.


Walaupun hasil tiga bulan meningkat 37% suku ke suku (QoQ) kepada RM88 juta, dipacu kemajuan projek program tenaga hijau korporat (CGPP) serta komersial dan industri (C&I), keuntungan kekal negatif.


"Kami mengurangkan unjuran keuntungan FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 12% dan 15%, dengan memotong harga sasaran (TP) kepada 35 sen daripada 41 sen sebelum ini," kata TA Securities.


Penarafan diturunkan kepada 'jual', dengan firma itu menegaskan bahawa walaupun prospek industri solar kukuh, penilaian saham Sunview kini terlalu mahal berbanding risiko dan ganjaran semasa.


Sementara itu, MBSB Research turut melihat keputusan kumpulan berkenaan sebagai di bawah jangkaan, dengan keuntungan teras 6MFY25 mencatat kira-kira RM1.4 juta, susut 23.1% tahun ke tahun (YoY).


Keuntungan teras bagi 18MFY25 ialah RM6.9 juta, hanya 86.3% daripada unjuran firma penyelidikan itu, dengan menegaskan tekanan hasil datang daripada kos pentadbiran, kos kewangan dan kadar cukai.


"Dalam segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), walaupun hasil naik 37% QoQ kepada RM86.3 juta, margin pula merosot ketara kepada cuma 9.1% daripada 11.3%," katanya lagi.


MBSB Research memberi amaran bahawa buku tempahan tidak bil Sunview sebanyak RM173.8 juta adalah rendah dan kumpulan perlu segera menambah projek, disokong potensi penganugerahan projek solar.


Susulan prestasi lebih lemah, ia memotong unjuran keuntungan bagi FY26F dan FY27F sebanyak -10.5% dan -11.3%, serta menurunkan penarafan kepada 'neutral' dengan TP baharu 40 sen daripada 46 sen.


Sunview katanya, perlu segera meningkatkan projek baharu dan memulihkan margin untuk menambahkan kepercayaan pelabur kerana pretasi semasanya masih belum meyakinkan. - DagangNews.com