Kedah raih pelaburan berjumlah RM4.2 bilion pada 1QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kedah raih pelaburan berjumlah RM4.2 bilion pada 1QFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Jun — Kedah merekodkan pelaburan yang berjumlah RM4.2 bilion pada tempoh suku pertama tahun ini, yang dijangka menjana lebih 1,400 peluang pekerjaan di seluruh negeri tersebut.


Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sektor pembuatan merupakan bahagian terbesar, dengan pelaburan RM3.9 bilion iaitu ketiga tertinggi di Malaysia dalam tempoh yang sama.


Tambah beliau, sektor perkilangan yang bernilai tinggi turut dijangka terus berkembang dengan kukuh, walaupun menghadapi pelbagai faktor ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi semasa pada ketika ini.

 

 

 

 

 


“Pertumbuhan dipacu pembangunan Fasa 4A dan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park, Koridor Perindustrian Kulim, dan beberapa kawasan baharu seperti Kedah Rubber City dan Kedah Science Technology Park,” katanya.


Beliau berucap pada istiadat menyembah tahniah bersempena sambutan rasmi Hari Keputeraan ke-83 Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, di Istana Anak Bukit di Alor Setar.


Menjelaskan lebih lanjut, Muhammad Sanusi menambah, kesediaan para pelabur untuk melabur di Kedah adalah manifestasi kepada isu kestabilan, ketelusan dan keberkesanan dasar kerajaan negeri itu.


 

mb kedah sanusi
Muhammad Sanusi Md Nor

 


Selain itu katanya, pembangunan Koridor Bandar Sempadan turut menunjukkan kemajuan positif, terutama dengan pembukaan kawasan hab logistik di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan dekat Bukit Kayu Hitam.


Lokasi itu tambahnya, mampu menarik trafik kontena dianggarkan 240,000 unit dari selatan Thailand, dan berpotensi menyumbang sehingga RM843 juta setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Kedah.


Pembangunan bandar sempadan itu disokong pembinaan jalan penghubung antara kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Bukit Kayu Hitam serta Sadao, Thailand yang dijangka siap pada September.


“Infrastruktur strategik ini diunjur meningkatkan perdagangan dua hala Malaysia-Thailand daripada hanya RM117 bilion pada 2023 kepada sebanyak RM141 bilion menjelang 2027," kata Muhammad Sanusi.


Perkembangan positif daripada pembangunan lokasi berkenaan jelas Menteri Besar, diunjur mampu memberi banyak manfaat kepada Kedah sendiri melalui peningkatan aktiviti ekonomi rentas sempadan.


Di samping itu, beliau berkata, negeri tersebut merekodkan kedatangan sejumlah 1.5 juta pelancong pada 1QFY25, melalui usaha promosi secara berterusan bersempena dengan Tahun Melawat Kedah 2025.


“Saya yakin sasaran tujuh juta pelancong boleh dicapai menerusi 170 program disediakan termasuk 45 acara utama yang menampilkan elemen sukan, makanan, teknologi dan kerohanian,” tambahnya. - DagangNews.com