KUALA LUMPUR 13 Nov – Ketika Malaysia mempergiat persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), MBSB Research mengingatkan ada beberapa risiko luaran yang menguji sektor pelancongan.
Firma penyelidikan tersebut menambah, cabaran struktur turut boleh mengekang potensi sebenar pemain industri pelancongan tempatan, meskipun momentum pemulihan ketika ini amat memberangsangkan.
Antara kebimbangan utama ialah kebergantungan tinggi terhadap beberapa pasaran utama, khususnya China dan Singapura yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah pelancong ke Malaysia pada 2024.
"Sebarang kelembapan ekonomi, dasar pelancongan baharu, atau perubahan trend perbelanjaan pelancong luar boleh memberi kesan ketara terhadap aliran ketibaan dan hasil sektor ini," kata MBSB Research.
Pada masa sama jelasnya, risiko saingan sengit serantau dari Thailand dan Vietnam yang turut aktif berkempen, memperkenalkan dasar visa mesra pelancong serta tawaran berimpak tinggi, wajar dinilai.
Bagaimanapun firma itu dalam notanya juga menegaskan yang asas sektor pelancongan Malaysia ketika ini adalah kukuh dan berpotensi untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
Pada 2024, pelancongan menyumbang 15.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan hasil RM102.2 bilion, melepasi paras sebelum pandemik Covid-19 dengan turut menyokong 3.5 juta pekerjaan.
"Jumlah ini adalah 21.6% daripada guna tenaga negara, dan bagi TMM 2026, kerajaan menyasarkan 47 juta pelawat luar dengan hasil RM329 bilion, melalui tumpuan pakej pelancongan unik," katanya.
Ini termasuk pelancongan kesihatan, alam sekitar, warisan budaya dan mesra Muslim dengan RM500 juta diperuntukkan bagi promosi serta naik taraf infrastruktur, di samping insentif cukai khas tertentu.
MBSB Research menilai pelbagai inisiatif itu sebagai langkah strategik kerajaan mampu melonjakkan ekonomi domestik, memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta sektor perkhidmatan.
Ia juga memberi limpahan positif kepada subsektor pengangkutan, hospitaliti, runcit serta makanan dan minuman, yang memberi manfaat lebih besar kepada banyak syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
"Dari segi unjuran makroekonomi, kami menjangkakan KDNK Malaysia mampu berkembang 4.3% pada 2026, didorong oleh permintaan domestik dan kesan daripada aktiviti pelancongan," jelas firma itu lagi.
Sebaliknya, ia mengingatkan pelabur agar berhati-hati terhadap ketidaktentuan global, termasuk risiko kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) serta persaingan sengit pasaran serantau.
Keadaan itu kata MBSB Research, boleh mengehadkan pula pertumbuhan nilai pasaran ekuiti tempatan, meskipun secara keseluruhan, TMM 2026 dijangka menjadi pemangkin penting pemulihan ekonomi negara.
Justeru, kejayaan sektor pelancongan bergantung kepada kemampuan Malaysia menangani risiko pasaran luar, memperkukuh daya saing destinasi, serta memastikan pembangunan inklusif. - DagangNews.com








