Kebergantungan tinggi eksport ke AS berisiko susutkan untung Poh Huat – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan tinggi eksport ke AS berisiko susutkan untung Poh Huat – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 SeptPoh Huat Resources Holdings Berhad berisiko mengalami penyusutan ketara keuntungan susulan kebergantungan tinggi kepada pasaran Amerika Syarikat (AS), kata TA Securities.


Menurut firma berkenaan, negara tersebut menyumbang lebih 90% daripada jumlah eksportnya, terutama selepas pengumuman tarif sektor 30% ke atas import perabot berlapis berkuat kuasa 1 Oktober 2025.


Presiden AS, Donald Trump, turut mengumumkan tarif 50% bagi kabinet dapur, almari bilik mandi dan produk berkaitan, dalam usaha melindungi pengeluar tempatan yang terjejas akibat lambakan dari negara lain.


"Tarif baharu ini bakal menambah tekanan kepada Poh Huat sendiri, yang sudah terkesan oleh tarif timbal balik sebelumnya, sebanyak 19% ke atas produk Malaysia," kata TA Securities dalam notanya.


Berdasarkan perkembangan tersebut, firma penyelidikan itu tidak menolak kemungkinan kenaikan kos pengeluaran produk berpotensi dipindahkan kepada pengguna, sekali gus membebankan permintaan.


Ia merujuk data daripada Biro Statistik Buruh AS yang menunjukkan harga perabot di negara tersebut meningkat 4.7% tahun ke tahun pada Ogos 2025, dan dibimbangi menambah kerumitan bagi Poh Huat.


Walaupun menghadapi cabaran kata TA Securities, syarikat itu dijangka dapat mengurangkan kesan negatif berkenaan melalui campuran produk yang terdiri 60% perabot pejabat dan 40% perabot rumah.


"Perabot pejabat kebiasaannya tidak termasuk dalam kategori perabot berlapis, menjadikan operasi Malaysia memfokuskan perabot pejabat kurang terjejas berbanding operasinya dari Vietnam," katanya.


Pada FY24, operasi Poh Huat di Malaysia dan Vietnam menyumbang masing-masing 63% dan 37% daripada jumlah hasil kumpulan itu dengan ia merancang mempelbagaikan lagi pasaran ke Eropah serta Asia.


Bagaimanapun, TA Securities optimis dengan laporan media yang menyatakan AS kemungkinan memberi pengecualian tarif kepada Malaysia bagi beberapa barangan terpilih, termasuk produk perabot.


Firma penyelidikan tersebut memetik kenyataan daripada Ketua Perunding Malaysia, Mastura Ahmad Mustafa yang memaklumkan keputusan tarif berkenaan dijangka dimuktamadkan seawal bulan hadapan.


"Justeru, kami mengekalkan unjuran keuntungan Poh Huat bagi FY26 hingga FY28 tanpa perubahan buat masa ini, dengan masih lagi menunggu kejelasan lanjut berhubung tarif sektor berkenaan," katanya.


Ia turut mengekalkan harga sasaran kepada 96 sen sesaham, berdasarkan unjuran perolehan keuntungan 7 kali untuk tahun kalendar 2026, dengan saranan tidak berubah iaitu 'jual'. - DagangNews.com