KUALA LUMPUR 30 Dis – Public Investment Bank menekankan risiko utama Semico Capital Berhad yang disifatkan sebagai amat bergantung kepada beberapa pelanggan besar dan produk jenama Pop Mart.
Justeru, firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' menjelang penyenaraian kaunter tersebut pada 13 Januari 2026, walaupun prospek pertumbuhan sektor hiburan keluarga cukup menarik.
Menurutnya, kumpulan berkenaan menghadapi cabaran besar daripada persaingan dinamik, perubahan cita rasa pengguna, dan risiko gangguan bekalan barangan koleksi Pop Mart di pasaran semasa.
"Semico juga terdedah kepada turun naik kadar pertukaran asing kerana sebahagian besar pembelian dilakukan dalam mata wang luar, manakala jualan dijalankan dalam ringgit," kata PublicInvest.
Firma tersebut dalam notanya hari ini namun mengakui, kumpulan itu merupakan pembekal mesin arked dan hiburan, pengendali pusat hiburan keluarga, serta pengedar koleksi barang mainan di Malaysia.
Setakat 17 November 2025, syarikat itu berkhidmat kepada 77 kedai mesin hiburan dan 303 kedai barangan koleksi, dengan pertumbuhan pendapatan bakal disokong oleh penambahan mesin baharu.
Langkah perluasan portfolio dan koleksi tertentu, seperti produk Pop Mart, dinilai PublicInvest sebagai sejajar dengan rancangan pengembangan pelanggan dan usaha mengurangkan kebergantungan.
"Pasaran dijangka berkembang pesat, dengan pusat hiburan keluarga diunjurkan bernilai RM1.4 bilion pada 2025 dan naik kepada RM2.0 bilion menjelang 2029 iaitu pertumbuhan tahunan 10.2%," katanya.
Sementara itu, industri mainan pop dijangka berkembang daripada RM179.7 juta pada 2025 kepada RM512.5 juta pada 2029, disokong oleh peningkatan pelancongan, populasi dan pendapatan boleh guna.
Dari segi penilaian ke atas prospek Semico pula, PublicInvest menetapkan nilai saksama 29 sen sesaham berdasarkan 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada 2026, yang mewakili diskaun 20%.
Firma itu mengunjurkan kadar pertumbuhan keuntungan terkumpul (CAGR) selama tiga tahun sekitar 15%, disokong oleh pengembangan pelanggan serta usaha perluasan portfolio koleksi dan mainan.
"Kami namun menekankan pelbagai risiko termasuk persaingan pasaran, kebergantungan pelanggan, serta turun naik kadar pertukaran, yang boleh menjejaskan prestasi kewangan," katanya. - DagangNews.com








