Kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga berisiko jejas SBS Nexus selepas penyenaraian – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga berisiko jejas SBS Nexus selepas penyenaraian – PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jan — Kebergantungan tinggi kepada pembekal dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga dikenal pasti sebagai antara risiko utama yang boleh menjejaskan prospek SBS Nexus Berhad.


Menurut Public Investment Bank, kumpulan penjenamaan dan pemasaran itu wajar mengurangkan isu tersebut selepas penyenaraian sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 20 Januari 2026.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan, risiko berkenaan sedang ditangani secara berperingkat melalui strategi pengukuhan keupayaan dalaman, selari dengan hala tuju pertumbuhan.


"SBS Nexus merancang pengambilan 50 kakitangan baharu bagi memperkukuhkan penciptaan kandungan, reka bentuk grafik, pengeluaran video dan teknologi maklumat," katanya dalam satu nota hari ini.


Langkah jangka sederhana itu jelas PublicInvest, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kumpulan itu kepada pihak luar serta menyokong margin keuntungan yang lebih mampan dan berskala.


Tambahnya, syarikat itu mencatat pertumbuhan hasil konsisten, dipacu peralihan kepada pelanggan dengan bajet besar serta strategi jualan silang antara rumusan penjenamaan luar talian dan digital.


Keuntungan teras SBS Nexus turut diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) selama tempoh tiga tahun sebanyak 20%, yang mencerminkan peningkatan kualiti pendapatan.


"Kumpulan ini juga difahamkan sedang berusaha memperluaskan jangkauan pasaran dengan menyasarkan segmen pasaran Melayu, bagi mempelbagaikan asas pelanggan dan sumber hasil," kata PublicInvest.


Berdasarkan situasi berkenaan, ia menetapkan nilai saksama 27 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) kira-kira 10 kali ke atas perolehan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 2.7 sen.


Nilai itu sejajar dengan purata rakan setara industry, dan walaupun berskala lebih kecil berbanding kumpulan media tradisional, SBS Nexus dilihat masih lagi berada dalam fasa pertumbuhan keuntungan.


Jelas PublicInvest, dalam landskap industri yang kompetitif, ia mencatat pegangan pasaran 0.34% untuk penjenamaan luar talian dan 0.31% menerusi penjenamaan digital di Malaysia pada FY24.


"Selain kebergantungan besar kepada pembekal pihak ketiga, kami turut menekankan risiko yang lain termasuk hasil berasaskan projek dengan keterlihatan terhad," tambah firma penyelidikan tersebut.


SBS Nexus juga wajar menilai pendedahan kepada perbelanjaan pengiklanan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), persaingan sengit industri serta kebergantungan kepada jenama dalaman ‘ShangHai’.


Secara keseluruhan, PublicInvest berpandangan prospek kumpulan kekal positif pasca penyenaraian, dengan kejayaan pelaksanaan strategi pengukuhan dalaman menjadi faktor penting. - DagangNews.com