Kebergantungan besar Jati Tinggi kepada kontrak TNB boleh lemahkan pertumbuhan, kata AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kebergantungan besar Jati Tinggi kepada kontrak TNB boleh lemahkan pertumbuhan, kata AmInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 26 Mac — Kebergantungan besar kepada satu pelanggan dilihat sebagai risiko utama kepada Jati Tinggi Group Berhad, walaupun prospek pertumbuhan syarikat itu semakin kukuh.


Menurut AmInvestment Bank, kira-kira 93% buku tempahan semasa berpunca daripada projek berkaitan Tenaga Nasional Berhad (TNB), menjadikan isu tersebut sebagai faktor risiko yang perlu dipantau.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.00, disokong oleh prospek pertumbuhan pendapatan yang kukuh susulan lonjakan permintaan infrastruktur.


"Pengambilalihan 51% kepentingan dalam Roflex Pipe Sdn Bhd pada harga RM6.12 juta membuka lembaran baharu kepada Jati Tinggi dalam segmen pembuatan paip polietilena," katanya dalam nota hari ini.


Langkah terbaharu itu jelas AmInvest, bukan sahaja meningkatkan integrasi menegak syarikat dalam rantaian nilai utiliti, malah dijangka memberi sumbangan yang lebih positif kepada pendapatan.


Justeru tambahnya, berdasarkan kepada situasi semasa berkenaan, firma tersebut menaikkan unjuran pendapatan kumpulan itu bagi dua tahun kewangannya iaitu FY26 dan FY27 sekitar 8% hingga 10%.


Jati Tinggi kini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 11 kali bagi FY26 dan 8 kali bagi FY27, yang murah berbanding kadar pertumbuhan keuntungan masing-masing 103% dan 37%.


"TP yang ditetapkan untuk 12 bulan akan datang tersebut bersandarkan unjuran 15 kali P/E pada FY27, sejajar dengan purata lima tahun indeks pembinaan Bursa Malaysia sendiri," kata AmInvest.

 

Jati Tinggi HQ


Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, pertumbuhan pesat pembangunan sektor pusat data (DC) di Malaysia dijangka menjadi pemangkin utama kepada trend banyak permintaan projek infrastruktur.


Pasaran DC global diunjur berkembang 20% hingga 25% setahun, mencecah nilai RM64 bilion menjelang 2031, sekali gus meningkatkan keperluan untuk kerja utiliti dan mekanikal serta elektrikal (M&E).


Perkembangan tersebut kata AmInvest, turut tercermin dalam buku tender Jati Tinggi yang kini mencecah sekitar RM2.2 bilion, menunjukkan potensi pertumbuhan projek adalah amat signifikan.


"Pada masa sama, perbelanjaan modal (capex) besar oleh TNB di bawah pelan RP4:2025-2027 yang berjumlah RM42.9 bilion dijangka terus menyokong aliran projek kumpulan ini," tambahnya lagi.


Pelaburan tinggi berkenaan kata firma penyelidikan itu, didorong oleh keperluan peningkatan infrastruktur grid elektrik negara bagi menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui (RE).


AmInvest berpandangan rekod prestasi kukuh Jati Tinggi melaksanakan projek TNB selama ini sudah meletakkan syarikat berkenaan dalam kedudukan baik untuk terus meraih kontrak baharu.


Secara keseluruhan, ia melihat kumpulan tersebut berada dalam fasa pertumbuhan seterusnya, disokong oleh faktor integrasi perniagaan dan permintaan infrastruktur yang terus meningkat.


"Namun, kebergantungan kepada TNB serta pelaksanaan projek berskala besar kekal sebagai risiko utama yang boleh mempengaruhi prestasi syarikat dalam jangka sederhana," katanya. - DagangNews.com