KUALA LUMPUR 31 Dis — Insiden kebakaran besar di salah satu ladang ayam CAB Cakaran Corporation Berhad di Juru, Pulau Pinang dilihat memberi impak minimum terhadap operasi dan kewangan syarikat.
Menurut Malacca Securities, kejadian ke atas premis anak syarikat kumpulan, CAB Cakaran Breeding Farm Sdn Bhd pada 29 Disember 2025 itu hanya melibatkan satu reban dengan kira-kira 9,000 ekor ayam.
Bagaimanapun, sejumlah 7,200 ekor daripadanya mati, manakala struktur dalaman reban itu mengalami kerosakan sekitar 50%, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dan kemudahan sekeliling tidak terjejas.
"Kami difahamkan operasi pemadaman oleh pihak bomba berjaya diselesaikan pada malam yang sama, dan kes ini diserahkan kepada pegawai penyiasat kebakaran," kata Malacca Securities dalam notanya.
Firma penyelidikan tersebut dimaklumkan, bilangan ayam terjejas itu hanya mewakili 0.1% daripada kapasiti keseluruhan pengeluaran bulanan CAB Cakaran sendiri yang mencecah sebanyak 6.5 juta ekor.
Kerja baik pulih namun katanya, dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga bulan dengan kos dianggarkan daripada RM200,000 kepada RM300,000, dan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat insurans.
Sehubungan itu, Malacca Securities masih mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan ini tanpa ada sebarang perubahan, di samping mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 89 sen sesaham.
"Penilaian semasa ini berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) CAB Cakaran pada FY26 yang dianggarkan kira-kira 5.5 kali ke atas keuntungan sesaham (EPS) sebanyak 16.23 sen," tambahnya.
Selain itu, firma tersebut menegaskan yang insiden kebakaran tersebut dijangka tidak memberi gangguan material terhadap prestasi operasi atau kewangan keseluruhan syarikat. - DagangNews.com








