KUALA LUMPUR 18 Ogos 2025 – Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal mencatat pertumbuhan sebanyak 4.4% tahun ke tahun (YoY) pada suku kedua 2025 (2Q25), sedikit di bawah unjuran awal 4.5% YoY oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Namun, menurut CGS International (CGSI), angka ini masih menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang konsisten. Dari sudut suku tahunan diselaraskan secara bermusim (QoQ), ekonomi mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 2.1%, disokong oleh peningkatan dalam permintaan domestik dan eksport.
Firma penyelidikan itu berkata, semua komponen perbelanjaan menunjukkan peningkatan secara QoQ pada 2Q25 berbanding suku sebelumnya, dengan penggunaan swasta meningkat 2.1%.
Keadaan ini disebabkan oleh peningkatan pendapatan boleh guna serta lonjakan ketara dalam aktiviti pelancongan, yang menunjukkan keyakinan pengguna semakin pulih," kata CGSI dalam nota kajiannya.
Walaupun eksport mencatat kelembapan, hal ini lebih disebabkan oleh faktor luar jangka susulan dasar perdagangan tidak menentu oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dari sudut penawaran, firma itu menjelaskan bahawa semua sektor utama mencatat pertumbuhan, kecuali sektor perlombongan, yang menguncup sebanyak 5.5%, akibat penurunan dalam pengeluaran minyak mentah dan gas asli.
Bagaimanapun, lebihan akaun semasa merosot kepada RM0.3 bilion pada 2Q25, iaitu paras terendah sejak beberapa tahun, berbanding RM16.7 bilion pada suku sebelumnya.
Ini bersamaan dengan hanya 0.1% daripada KDNK (penyusutan 94% YoY), disebabkan oleh lebihan dagangan yang lebih rendah dan defisit pendapatan sekunder yang melebar.
"Akaun perkhidmatan, bagaimanapun, terus menunjukkan prestasi positif, dengan peningkatan ketibaan pelancong serta bayaran yang lebih rendah bagi perkhidmatan pembuatan," jelas CGSI.
CGSI melihat penyusutan dalam lebihan dagangan itu sebagai berpunca daripada aktiviti pelaburan modal yang aktif, dan bukannya kelemahan struktur asas ekonomi. Oleh itu, mereka menjangkakan akaun semasa akan pulih semula dalam separuh kedua tahun ini.
Firma itu mengekalkan unjuran lebihan akaun semasa sepanjang 2025 pada paras 1.2% daripada KDNK.
Berbeza dengan kebimbangan awal, momentum pertumbuhan ekonomi dijangka semakin mengukuh dalam separuh kedua 2025, disokong oleh beberapa langkah dasar dan pemangkin pertumbuhan.
"Antara faktor yang dijangka merangsang ekonomi termasuk penurunan kadar faedah yang meningkatkan kecairan dan perbelanjaan pengguna, serta agihan tunai tambahan oleh kerajaan yang merangsang penggunaan domestik," jelas CGSI.
Selain itu, penurunan harga bahan api yang mengurangkan tekanan kos sara hidup, serta peningkatan hasil pelancongan berikutan kemasukan pelancong asing yang semakin rancak, turut dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Walaupun terdapat risiko luaran seperti ketegangan perdagangan dengan AS, kelembapan ekonomi China, dan penurunan harga komoditi, CGSI menyatakan bahawa dasar perdagangan global kini dilihat semakin stabil selepas beberapa rundingan utama dimuktamadkan.
Kerajaan juga, tambahnya, menunjukkan komitmen jelas untuk melindungi ekonomi domestik melalui sokongan fiskal serta pelan kepelbagaian pasaran eksport yang lebih agresif.
"Justeru, kami kekal optimis terhadap pertumbuhan tahun ini dengan unjuran KDNK 2025 dikekalkan pada 4.2%, namun unjuran 2026 disemak semula kepada 4.6% berbanding 5.0% sebelum ini, bagi mencerminkan cabaran luaran yang mungkin berpanjangan," katanya. - DagangNews.com








