KUALA LUMPUR 23 Okt – Kawan Renergy Berhad menerima kontrak bernilai RM12.75 juta daripada Govi Cast Sdn Bhd (GCSB) bagi melaksanakan projek sistem sebuah kilang di Pelabuhan Klang, Selangor.
Kumpulan itu berkata, ia diraih anak syarikat milik penuhnya, Kawan Engineering Sdn Bhd (KESB) melibatkan kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk penambahan barisan pengeluaran kimia.
Tambah syarikat berkenaan, projek itu dijangka siap sepenuhnya untuk beroperasi pada 1 Mei 2026, dengan Lembaga Pengarah yakin kontrak tersebut akan memberi sumbangan positif kepada kumpulan.
"Ini termasuk ke atas pendapatan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Oktober 2026,” menurut kenyataan Kawan Renergy dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Katanya, Govi Cast yang ditubuhkan pada 2017, menjalankan perniagaan dalam bidang pembuatan serta perdagangan kalsium diproses, bagi digunakan dalam pelbagai sektor termasuk plastik, dan kosmetik.
Projek barisan pengeluaran baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mengukuh rantaian bekalan bahan kimia industri tempatan, sejajar peningkatan permintaan bahan kimia.
Kawan Renergy menegaskan, penerimaan tempahan itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama syarikat kerana tiada penerbitan saham yang baharu.
"Bagaimanapun, projek terbaharu ini dijangka dapat menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan yang akan datang," kata makluman syarikat tersebut.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan teras KESB, dan tidak dijangka membawa sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang berkaitan.
Syarikat berkenaan turut mengesahkan tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.
“Lembaga Pengarah selepas meneliti semua aspek pesanan ini berpandangan yang perolehan projek baharu ini adalah demi kepentingan terbaik ke atas Kawan Renergy sendiri,” jelas kenyataan itu.
Dengan kontrak ini, ia mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia rumusan EPC aktif dalam sektor pembuatan tempatan, sejajar usaha kerajaan memperkukuh rantaian industri kimia. - DagangNews.com








