Kawan Renergy dapat tempahan pembelian sistem generator diesel RM70.4 juta untuk pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kawan Renergy dapat tempahan pembelian sistem generator diesel RM70.4 juta untuk pusat data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 April – Kawan Renergy Berhad (KRB) melalui anak syarikat milik penuhnya, Kawan Green Energy Sdn Bhd telah menerima satu tempahan pembelian generator diesel bernilai RM70.4 juta daripada sebuah syarikat yang beroperasi di Malaysia.

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, tempahan pembelian tersebut adalah bagi membekalkan dan menghantar sistem generator diesel kepada pelanggan berkenaan.

 

“Syarikat itu merupakan pengendali perkhidmatan pusat data yang beroperasi di Wilayah Tengah Semenanjung Malaysia,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Namun nama syarikat pelanggan tidak didedahkan.

 

KRB menjelaskan tempahan pembelian ini merupakan satu komitmen awal dan bukannya kontrak jangka panjang yang kompleks, namun tetap menjadi asas kepada pelaksanaan projek bekalan tersebut.

 

Nilai keseluruhan tempahan pembelian itu dianggarkan berjumlah RM70.37 juta termasuk cukai perkhidmatan kerajaan.

 

Tempoh pelaksanaan projek dijangka bermula pada 17 April 2026 dan disasarkan siap sepenuhnya menjelang 17 April 2027, bergantung kepada jadual penghantaran dan pelaksanaan kerja.

 

Syarikat turut menegaskan bahawa penerimaan tempahan itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan kerana ia tidak melibatkan sebarang terbitan saham baharu.

 

Bagaimanapun, KRB menjangkakan projek ini akan memberi kesan positif kepada pendapatan masa hadapan serta aset bersih sesaham kumpulan apabila mula menyumbang kepada operasi.

 

Dari segi risiko, lembaga pengarah memaklumkan bahawa tiada risiko luar biasa dikenal pasti selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan, penghantaran dan penyempurnaan projek.

 

Pesanan pembelian ini juga tidak memerlukan sebarang kelulusan daripada pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan, serta tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam urus niaga tersebut. - DagangNews.com