KUALA LUMPUR 2 Dis – Kawan Renergy Bhd dijangka mengekalkan trajektori pertumbuhan kukuh dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) hasil 13.3% dan keuntungan teras 17.4% bagi tempoh tahun kewangan 2024 (FY24) hingga FY27, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Seiring prospek kewangan yang memberangsangkan itu, PublicInvest memulakan liputan terhadap Kawan Renergy dengan saranan “Outperform” serta harga sasaran 76 sen, disokong oleh peranan strategik kumpulan itu dalam ekosistem peralihan tenaga dan penyelesaian kuasa alternatif negara.
Bank pelaburan itu berkata, momentum dasar di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), peningkatan permintaan elektrik industri serta penggunaan yang semakin meluas terhadap penyelesaian kuasa atas tapak menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan kumpulan.
Kawan Renergy ialah penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu yang terlibat dalam reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan peralatan proses industri, loji proses, tenaga boleh diperbaharui serta sistem kogenerasi.
Setakat suku ketiga FY25, kumpulan itu memiliki buku pesanan belum dibil sebanyak RM112 juta, dipacu terutamanya oleh projek kogenerasi, sekali gus menyediakan asas kukuh kepada keterlihatan pendapatan jangka pendek.
PublicInvest berkata, nilai buku pesanan tersebut adalah bersamaan kira-kira setahun hasil, walaupun sebahagian kontrak melangkaui tempoh dua tahun.
Menurut firma penyelidikan itu, Kawan Renergy berada dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada peningkatan mendadak permintaan tenaga elektrik dan tekanan penyahkarbonan yang semakin ketara.
“Pengembangan pesat pusat data, beban industri serta elektrifikasi bandar sedang memberi tekanan kepada garis masa sambungan grid.
“Selain itu, NETR mensasarkan campuran tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, termasuk 1.4 gigawatt kapasiti biotenaga.
“Sistem kogenerasi dan biotenaga kini muncul sebagai alternatif praktikal atas tapak bagi menampung kekangan grid serta mengurangkan intensiti karbon,” menurut laporan itu. - DagangNews.com








