KUALA LUMPUR 2 Dis – Kaspersky memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun bersama Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) bagi memperkukuh ekosistem pendidikan keselamatan siber negara, selari sasaran Malaysia untuk menjadikan ekonomi digital menyumbang 30% kepada KDNK menjelang 2030.
Kerjasama strategik itu dilihat kritikal ketika industri berdepan jurang bakat yang semakin melebar.
Berdasarkan tinjauan global Kaspersky 2025, hanya 17% profesional keselamatan siber di Malaysia berpuas hati sepenuhnya dengan tahap kesiapsiagaan organisasi masing-masing, manakala 14% mengaitkan kelemahan strategi dengan kekurangan tenaga mahir dan 28% pula berpunca daripada risikan ancaman yang ketinggalan.
Menerusi kerjasama itu, Kaspersky dan APU akan melaksanakan peningkatan kurikulum sejajar industri, pembangunan tenaga pengajar, pertukaran pengetahuan teknikal serta inisiatif pembinaan kapasiti bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor keselamatan siber.
Sebagai simbolik pemeteraian MoU, kedua-dua pihak akan menganjurkan acara sehari penuh yang merangkumi sesi teknikal dan pertandingan Simulasi Perlindungan Interaktif Kaspersky bagi memberi pendedahan langsung kepada pelajar dan pendidik mengenai situasi pertahanan siber dunia sebenar.
Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Besar ASEAN dan AEC Kaspersky, Simon Tung berkata kepakaran keselamatan siber memerlukan proses pembelajaran berterusan.
“Keselamatan siber tidak dibina dalam masa singkat. Ia menuntut pembelajaran sepanjang hayat, kolaborasi dan pendedahan kepada cabaran baharu. Melalui kerjasama dengan APU, syarikat melabur dalam asas daya tahan siber mampan bagi menyokong pertumbuhan digital Malaysia untuk jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi APU, Dr Thang Ka Fei, kerjasama itu menjadi lonjakan penting dalam membina bakat pertahanan digital negara.
“Dengan menggabungkan kecemerlangan pendidikan teknologi APU dan kepimpinan global Kaspersky dalam inovasi keselamatan siber, syarikat membentuk ekosistem bakat bersedia masa depan yang bukan sahaja melindungi dunia digital, tetapi turut meneroka sempadan baharu pembangunan teknologi selamat,” katanya.
Kerjasama itu juga selari dengan inisiatif Kaspersky Academy Alliance yang menghubungkan universiti dan institusi penyelidikan global bagi merapatkan jurang pengetahuan keselamatan siber menerusi penyelidikan, latihan praktikal dan pembangunan kemahiran.
Di Malaysia, Kaspersky sebelum ini telah bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kuala Lumpur bagi menyediakan latihan khusus serta pendedahan sebenar dalam siasatan siber. - DagangNews.com








