Kafe ThinkCup, tarikan baharu penggemar kopi di Bukit Merah Laketown Resort | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kafe ThinkCup, tarikan baharu penggemar kopi di Bukit Merah Laketown Resort

Kafe ThinkCup menawarkan pelbagai pilihan kopi dan pastri.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 13 Ogos - Menikmati secawan kopi dalam suasana tenang dan harmoni di tengah-tengah kehijauan rimba kini menjadi tarikan baharu pengunjung Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).

 

Ini menerusi pembukaan ThinkCup, sebuah kafe berkonsep alam semula jadi yang memberi kelainan.

 

Terletak di puncak Ripple Hills pada ketinggian 43 meter dari paras laut, ThinkCup menyajikan panorama Tasik Bukit Merah yang memukau dan dikelilingi oleh kehijauan mendamaikan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Nazri Tumin berkata, ThinkCup bukan sekadar sebuah cafe, malah menjadi ruang inspirasi untuk para pengunjung berehat.

 

Perak
Nazri (dua dari kiri) semasa merasmikan pembukaan kafe ThinkCup di Bukit Merah Laketown Resort.

 

Perak

 

“Secawan kopi boleh memberikan ilham, sambil menikmati udara segar yang jauh dari hiruk-pikuk bandar. 

 

“Ia juga menyediakan suasana kondusif untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.

 

Selain pelbagai jenis kopi sejuk atau panas, pelanggan turut disajikan dengan hidangan eksklusif seperti Butterfly Pea Apple Mojito dan Caramel Macchiato.

 

Tidak terkecuali pencuci mulut istimewa termasuk kek pandan gula Melaka dan kek keju Bukit Merah yang dijangka menjadi tarikan utama kafe ini.

 

Perak
Suasana hijau menjadikan persekitaran kafe ThinkCup berbeza daripada yang lain.

 

Perak

 

Jelas Nazri, pembukaan kafe ini mengukuhkan lagi peranan BMLR sebagai destinasi pelancongan keluarga yang menggabungkan elemen pengalaman bermakna dengan kelestarian alam sekitar. 

 

Katanya, langkah ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) dalam meningkatkan mutu dan daya saing sektor pelancongan negara.

 

“Pengiktirafan Anugerah Emas (Man-Made Tourism) MyTQA yang diterima baru-baru ini menjadi bukti berterusan kami dalam mengekalkan standard kualiti perkhidmatan di BMLR.

 

“Pembukaan ThinkCup ini adalah langkah seterusnya untuk meningkatkan lagi pengalaman tetamu dan pengunjung, seterusnya memulihara kelestarian alam,” ujarnya.

 

ThinkCup dibuka kepada orang ramai setiap hari kecuali hari Selasa dari pukul 3 petang hingga 9 malam.  - DagangNews.com