KAF Digital dapat kelulusan BNM mula operasi bank digital Islam kedua pada 8 Ogos 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KAF Digital dapat kelulusan BNM mula operasi bank digital Islam kedua pada 8 Ogos 2025

Foto ihsan portal rasmi KAF Digital Bank
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Ogos — KAF Digital Bank Berhad, yang disokong oleh KAF Investment Bank (KAF IB), menerima kelulusan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memulakan operasi pada 8 Ogos 2025.

 

Bank digital Islam yang kedua di negara ini, dikendalikan konsortium terdiri daripada KAF IB dan empat rakan kongsi perkhidmatan teknologi kewangan iaitu Carsome, MoneyMatch, Jirnexu dan StoreHub.

 

Kata bank berkenaan, kelulusan tersebut diperoleh daripada bank pusat itu berikutan kejayaannya menyiapkan Fasa Perintis, iaitu tempoh ujian terkawal yang melibatkan beberapa peserta terpilih.

 

Konsortium itu menerima maklum balas pengguna ketika fasa berkenaan seta memainkan peranan penting dalam memperhalusi penawaran produk bank dan meningkatkan pengalaman para pengguna.

 

"KAF Digital Bank berhasrat untuk mentakrifkan semula definisi landskap perbankan digital di Malaysia dengan memanfaatkan pelbagai teknologi termaju," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Tambahnya, ini termasuk untuk menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan secara komprehensif, termasuk akaun simpanan patuh syariah, kad debit maya dan perkhidmatan pembayaran.

 

Setakat ini, KAF Digital Bank antara lima bank digital berlesen di Malaysia, yang dianugerahkan lesen mereka oleh BNM pada 29 April 2022, berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF).

 

Selain bank tersebut, antara yang diluluskan ialah GX Bank manakala Boost Bank pula merupakan sebuah usaha niaga perbankan digital yang dibentuk oleh Axiata Group Berhad dan RHB Bank Berhad.

 

Baki dua lagi ialah AEON Bank serta Ryt Bank, yang juga merupakan usaha sama antara Sea Ltd dan YTL Digital Capital Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh YTL Power International Berhad

 

GX Bank, yang diketuai oleh firma Grab, adalah yang pertama disiarkan secara langsung pada 1 September 2023, diikuti pula Boost Bank apabila ia mula dilancarkan pada 15 Januari 2024.

 

Sementara itu, AEON Bank muncul sebagai bank digital Islam sepenuhnya yang pertama dibentuk di Malaysia, dengan mula beroperasi pada 26 Mei 2024. - DagangNews.com