KUALA LUMPUR 4 Mei – Penurunan kadar sewaan harian aset kapal menjadi isu perlu diberi perhatian oleh Coastal Contracts Berhad, dan turut menjadi kebimbangan utama pelabur kumpulan berkenaan.
Menurut TA Securities, kadar sewaan tersirat bagi kontrak terbaharunya itu adalah sekitar RM80,000 sehari, sedikit rendah berbanding kira-kira RM83,000 sehari yang pernah dicapai sebelum ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan kontrak tersebut masih lagi memberi impak positif walaupun terhad, kerana turut menyokong kadar penggunaan armada dengan masa henti yang minimum.
"Coastal Contracts sebelum ini memperoleh kontrak pajakan ‘liftboat’ selama 90 hari di rantau Timur Tengah dengan nilai kira-kira RM7.2 juta, yang akan bermula pada 5 Mei 2026," katanya dalam nota.
Tambah TA Securities, kontrak terkini berkenaan juga merangkumi tempoh tetap selama 40 hari yang bernilai kira-kira RM3.2 juta, serta ada pilihan lanjutan sehingga 50 hari lagi dengan nilai RM4.0 juta.

Kontrak ini ujarnya, diperoleh daripada pelanggan baharu selepas tamat kontrak terdahulu, membuktikan keupayaan syarikat melaksanakan penempatan aset dengan cekap tanpa ada gangguan ketara.
Tempoh pajakan yang lebih panjang pula jelas firma berkenaan, dapat membantu dalam mengimbangi kadar harian yang sedikit lebih rendah, sekali gus memastikan sumbangan hasil yang kekal stabil.
"Justeru, kami mengekalkan unjuran kewangan sedia ada Coastal Contracts kerana tender ini adalah sejajar dengan jangkaan kadar penggunaan kumpulan bagi tahun kewangan 2026," kata TA Securities.
Dari sudut penilaian, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM1.97 sesaham berdasarkan kaedah jumlah bahagian (SOP).
Jelasnya, kontrak ini mungkin hanya memberi peningkatan kecil kepada pendapatan, namun ia penting dalam memastikan kesinambungan penggunaan aset dan aliran hasil syarikat. - DagangNews.com








