KUALA LUMPUR 22 April – Kadar sewaan rumah di pusat bandar Kuala Lumpur mencatat paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sebelum ia menurun semula dan kembali ke paras normal ketika ini, menurut data Juwai IQI.
Hasil tinjauan itu diperoleh berdasarkan lebih 1,000 transaksi di kawasan utama pusat bandar termasuk Kuala Lumpur City Centre dan Chow Kit.
Data itu meliputi kajian di tiga kawasan iaitu di poskod 50200, 50450 dan 55100 yang membentuk koridor sewaan pusat bandar Kuala Lumpur, merangkumi kawasan sekitar segi tiga emas dan bersebelahan KLCC.
Purata sewa bulanan di kawasan ini mencecah RM6,454 pada separuh pertama 2024, iaitu paras tertinggi sejak IQI mula menjejak pasaran itu pada 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata kenaikan itu mencerminkan perubahan dalam struktur transaksi, bukan kenaikan menyeluruh bagi semua unit kediaman.
Beliau berkata purata sewa pada H1 2024 meningkat 58 peratus tahun ke tahun, sebelum pasaran mula menurun dan kembali stabil pada tahun-tahun berikutnya.
“Ketika itu adalah kemuncak pasaran. Namun ia tidak bermaksud semua unit mengalami kenaikan yang sama.
“Selepas lonjakan kadar sewa tersebut, pasaran mula menunjukkan ‘pembetulan’ apabila purata sewa jatuh daripada paras tinggi kepada sekitar RM4,500 hingga RM5,000 sepanjang 2025 dan awal 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kadar Sewa Jatuh Ketika Pandemik COVID-19
Kashif berkata pasaran sewa di pusat bandar Kuala Lumpur sebelum ini mengalami tekanan ketara semasa pandemik COVID-19.
Pada awal 2021, purata sewa jatuh kepada RM3,266, iaitu penurunan sekitar 38 peratus berbanding paras sebelum pandemik.
Penurunan itu berlaku akibat kelembapan ekonomi, kemerosotan permintaan dan perubahan pola pekerjaan ketika tempoh sekatan pergerakan.
Namun pasaran kembali pulih dengan cepat apabila aktiviti ekonomi dibuka semula dan permintaan terhadap kediaman di kawasan bandar meningkat.
Pemulihan itu akhirnya membawa kepada lonjakan sewa yang memuncak pada separuh pertama 2024.
IQI turut menggunakan indikator purata bergerak empat tempoh yang menunjukkan trend jangka panjang pasaran.
Purata bergerak itu kini berada melebihi RM5,300, paras tertinggi dalam data, namun dijangka mula menurun apabila data sewa tinggi H1 2024 tidak lagi memberi kesan besar kepada pengiraan.
Kashif berkata pasaran kini berada dalam fasa “consolidation” selepas mengalami kitaran naik dan turun yang ketara sejak pandemik.

Beza Jurang Harga Besar Antara Poskod dan Jenis Hartanah
Menurut IQI, terdapat perbezaan ketara kadar sewa antara bangunan mewah dan kediaman biasa walaupun berada dalam kawasan yang sama.
Antara transaksi tertinggi direkodkan ialah di Banyan Tree Signatures Pavilion dengan sewa mencecah lebih RM10,000 sebulan, manakala beberapa unit boleh melebihi RM15,000.
Bangunan lain dalam segmen premium termasuk Four Seasons Place, St Mary Residences dan Hampshire Park Condominium yang turut mencatat sewaan tinggi.
Kediaman ini menawarkan kemudahan seperti kolam renang, spa, lounge, taman serta lokasi berhampiran pusat perniagaan utama dan Pavilion Kuala Lumpur.
Namun dalam masa yang sama, terdapat juga unit di kawasan sama yang disewa serendah RM1,200 sebulan, menunjukkan jurang kemampuan yang luas.
Kashif berkata julat sewa paling biasa dalam pasaran adalah antara RM3,000 hingga RM5,000, dengan kira-kira dua daripada lima penyewa berada dalam kategori tersebut.
Beliau berkata median sewa bagi keseluruhan kawasan adalah antara RM3,500 hingga RM5,300, lebih mencerminkan keadaan sebenar berbanding purata yang dipengaruhi unit mewah.
Pilihan Mampu Milik di Pusat Bandar
Walaupun kawasan pusat bandar dianggap premium, ia masih menawarkan pelbagai pilihan sewa mengikut kemampuan.
Perbezaan ketara turut dilihat antara poskod bersebelahan walaupun berada dalam kawasan geografi yang hampir sama.
Sebagai contoh, poskod 50450 mencatat purata sewa tertinggi iaitu RM6,372 pada 2025, manakala 55100 mencatat purata RM3,583.
Poskod 50200 pula mencatat purata sekitar RM3,931, menunjukkan variasi ketara walaupun berada dalam kawasan pusat bandar.
Perbezaan ini berpunca daripada jenis hartanah dan komposisi transaksi dalam setiap kawasan, bukan semata-mata lokasi.
Sebagai contoh, St Mary Residences di 50450 mencatat purata sewa sekitar RM6,300 manakala Sunway Velocity Two di 55100 mencatat purata sekitar RM3,306.
Kashif berkata penyewa boleh menjimatkan kos ketara dengan memilih lokasi yang berbeza walaupun jaraknya tidak jauh.
Beliau berkata pasaran kini lebih stabil selepas mencapai kemuncak pada 2024 dan dijangka kekal dalam julat RM4,500 hingga RM5,000 dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Secara keseluruhan, data menunjukkan pusat bandar Kuala Lumpur kekal sebagai pasaran sewaan aktif dengan pilihan harga yang luas daripada segmen mampu milik hingga ultra-mewah.- DagangNews.com








