Kadar pengangguran pada 2025 berpotensi cecah 2.9%, disokong pertumbuhan ekonomi stabil - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran pada 2025 berpotensi cecah 2.9%, disokong pertumbuhan ekonomi stabil - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Okt – Pasaran buruh di Malaysia dijangka terus kukuh sehingga hujung tahun ini, dengan kadar pengangguran berpotensi menurun kepada hanya kira-kira 2.9%, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia merupakan paras paling rendah dalam lebih sedekad dengan unjuran positif ini disokong oleh faktor pertumbuhan ekonomi stabil dan permintaan buruh yang berterusan.


Tambahnya lagi, pemulihan sektor utama seperti perkhidmatan dan pembuatan turut mendorong bilangan penganggur di seluruh negara terus mencatatkan pengurangan secara konsisten pada setiap bulan.


"Kami turut mengekalkan unjuran purata kadar pengangguran sekitar 3.0% bagi tahun ini, namun tidak tolak prestasi mungkin lebih baik jika momentum semasa kekal," kata TA Securities dalam notanya.


Data terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran pada Ogos 2025 kekal 3.0%, dengan jumlah penganggur menurun 5.7% tahun ke tahun (YoY) kepada 520,000 orang.


Angka berkenaan tambah firma tersebut menunjukkan penyusutan berbanding 521,600 orang pada bulan sebelumnya dan mencerminkan pemulihan berterusan dalam aktiviti pekerjaan dan keyakinan pasaran.


Secara keseluruhan kata TA Securities, jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.99 juta orang iaitu pertambahan 3.1% tahun ke tahun (YoY) dengan pertumbuhan dicatatkan dalam kesemua sektor utama.


"Kategori pekerja yang makan gaji terus mendominasi pasaran buruh, mewakili kira-kira 74.9% daripada jumlah pekerjaan, meningkat kepada 12.73 juta orang," jelas firma penyelidikan tersebut.


Sementara itu tambahnya lagi, pekerja yang bekerja sendiri juga bertambah kepada seramai 3.22 juta orang, dengan mencerminkan pertumbuhan dalam ekonomi gig dan keusahawanan dalam kalangan belia.


TA Securities berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, purata pekerjaan meningkat 2.7% YoY kepada 17.37 juta orang, manakala purata pengangguran susut kepada 525,600 orang (-5.3% YoY).


Ia meramalkan prestasi ini akan berterusan, dengan perbelanjaan swasta yang lebih mampan menyokong permintaan buruh, terutama dalam sektor domestik, sekali gus menarik pencari kerja di pasaran.


"Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan turut menyasarkan tenaga buruh meningkat kepada 17.71 juta orang (+2.3%) dengan kadar pengangguran dikekalkan pada 3.0% bagi 2025 dan 2026," kata firma itu.


Berdasarkan kepada perkembangan semasa, jelas TA Securities, pasaran buruh kini berada di landasan yang kukuh untuk mencatat prestasi terbaik dalam lebih 10 tahun. - DagangNews.com