Kadar pengangguran kekal 3.0% pada Jun 2025, jumlah penganggur turun kepada 518,700 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran kekal 3.0% pada Jun 2025, jumlah penganggur turun kepada 518,700 - DOSM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kadar pengangguran pada Jun 2025 masih kekal 3.0 peratus, dengan jumlah penganggur menurun kepada 518,700, menurut Statistik Tenaga Buruh Jun dan Suku Kedua 2025.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh mengekalkan momentum pertumbuhan positifnya pada bulan tersebut, didorong oleh pengembangan berterusan ekonomi negara.

 

Situasi itu tambahnya, dicerminkan menerusi peningkatan pekerjaan yang stabil dan penurunan dalam pengangguran dengan perkembangan tenaga buruh di Malaysia meneruskan aliran menaik pada Jun 2025.

 

"Ia meningkat sebanyak 0.3% bulan ke bulan kepada 17.43 juta orang (Mei 2025: 17.38 juta orang) dan kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) pada Jun 2025 adalah 70.8%," kata beliau dalam kenyataan.

 

Tinjauan dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kata Mohd Uzir mendapati, trend pekerjaan pada bulan berkenaan juga adalah selaras dengan kadar yang dicatatkan sebelum itu pada Mei 2025.

 

Mengulas prestasi secara keseluruhan bagi tempoh suku kedua tahun ini, beliau berkata, tenaga buruh mengalami pertumbuhan 0.8 peratus kepada 17.37 juta orang, berbanding 17.23 juta pada suku pertama.

 

Sementara itu tambah beliau, LFPR didapati menunjukkan berlaku peningkatan sedikit sebanyak 0.1 mata peratusan untuk mencapai 70.8 peratus, berbanding 70.7 peratus pada suku yang sebelumnya.

 

"Mencerminkan trend positif ini, bilangan pekerja meningkat 0.9 peratus kepada 16.85 juta orang daripada data pada tempoh suku pertama 2025 iaitu sebanyak 16.70 juta orang," kata Mohd Uzir.

 

Sementara itu tambahnya, jumlah penganggur di seluruh Malaysia menunjukkan penurunan sebanyak 1.0 peratus kepada 520,900 orang berbanding tiga bulan pertama sebelumnya adalah 526,300 orang.

 

Beliau berkata, kadar pengangguran bagi tempoh suku kedua tahun ini turut mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 mata peratusan kepada kira-kira 3.0 peratus, berbanding suku yang sebelumnya.

 

Mohd Uzir berkata, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang, dengan disokong oleh faktor permintaan domestik yang semakin meningkat, dan produktiviti lebih tinggi.

 

“Walaupun terdapat cabaran seperti penghijrahan bakat, ketegangan perdagangan global dan inflasi, namun dasar kerajaan menyaksikan banyak peluang pekerjaan dan pelaburan meluas," tambah beliau.

 

Ini katanya, dalam sektor teknologi dan strategik manakala kerajaan memberi tumpuan kepada pendigitalan, latihan teknikal dan insentif pelaburan bagi mengekalkan pertumbuhan. - DagangNews.com