Kadar pengangguran 2026 dijangka kekal 3.0%, didorong pengukuhan sektor domestik - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran 2026 dijangka kekal 3.0%, didorong pengukuhan sektor domestik - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Mei - Kadar pengangguran negara bagi tahun 2026 dijangka kekal stabil pada paras 3.0%, sama seperti purata tahun 2025, disokong oleh pertumbuhan pekerjaan yang konsisten serta pengembangan sektor perkhidmatan berorientasikan domestik, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kestabilan pasaran buruh turut diperkukuh oleh ketahanan penggunaan swasta yang terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi negara.

 

"Pelaksanaan pelbagai dasar struktur termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (13MP), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta inisiatif pembaharuan GEAR-uP dijangka memberi impak pengganda kepada ekonomi, seterusnya mengubah landskap perindustrian negara.

 

"Dasar-dasar berkenaan dilihat meningkatkan permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selain menyokong kenaikan tahap gaji dalam jangka sederhana hingga panjang," katanya dalam analisis pasaran buruh hari ini.

 

Pasaran buruh Malaysia kekal kukuh pada Mac 2026 apabila kadar pengangguran tidak berubah pada 2.9%. Kadar tersebut terus berada di bawah paras 3.0% untuk bulan kelima berturut-turut, selain mencatat tahap terendah dalam tempoh sedekad.

 

Permintaan buruh turut menunjukkan peningkatan pada April 2026 apabila kekosongan jawatan meningkat sebanyak 15,000 kepada 122,000 berbanding 107,000 pada Mac, sekali gus melepasi paras 120,000.

 

Dari segi sektor, kekosongan jawatan dalam sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 5,100 kepada 63,700, didorong terutamanya oleh peningkatan dalam aktiviti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.

 

Kitaran Positif Penggunaan Domestik

MBSB Research berkata, apabila peningkatan pendapatan boleh guna berlaku, ia dijangka mewujudkan kitaran positif yang memperkukuh penggunaan domestik sebagai teras pertumbuhan ekonomi.

 

Dalam masa sama katanya, dasar monetari yang kekal menyokong pertumbuhan serta prospek pekerjaan yang stabil dijangka terus menyokong permintaan dalam negara, walaupun sektor berorientasikan eksport berdepan risiko ketidaktentuan perdagangan global.

 

Sektor pelancongan turut dijangka menjadi pemacu penting pekerjaan, susulan peluasan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) kepada program pelbagai tahun sehingga 2027, yang dijangka merancakkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan dan perkhidmatan.

 

Bagaimanapun, prospek positif ini masih tertakluk kepada risiko geopolitik, khususnya ketegangan di Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada sektor perjalanan dan infrastruktur pengangkutan serantau.

 

Dari sudut industri, sektor elektrik dan elektronik (E&E) pula dijangka terus menyokong pasaran buruh menerusi peralihan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor termaju, yang meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi.

 

Secara keseluruhan, dinamik ini dijangka membantu mengimbangi kelemahan permintaan buruh dalam sektor komoditi tradisional, sekali gus mengekalkan kestabilan pasaran pekerjaan negara pada 2026. - DagangNews.com