Kadar kos operasi kapal LNG kurang RM78,146 sehari terus menekan untung MISC, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar kos operasi kapal LNG kurang RM78,146 sehari terus menekan untung MISC, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb – Kadar semasa kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) yang kini berada di bawah kos operasi tunai sekitar AS$20,000 (RM78,146) sehari terus menekan keuntungan MISC Berhad.


Menurut CGS International (CGSI), perkembangan tersebut mengakibatkan beberapa kapal tidak dapat digunakan secara optimum di luar kontrak jangka panjang dan menjejaskan segmen LNG kumpulan itu.


Bagaimanapun firma penyelidikan berkenaan menjangkakan keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu kembali berkembang mulai 2026, disokong penghantaran kapal LNG jenis baharu secara berperingkat.


"Kelemahan kadar ini menyebabkan kapal LNG yang tamat kontrak jangka panjang serta tidak terikat kontrak baharu terpaksa dibiarkan tidak beroperasi buat sementara waktu," katanya dalam nota.


Keadaan tersebut jelas CGSI, dikhuatiri mengakibatkan PBT segmen LNG merosot ketara antara 2022 hingga 2024, dan firma berkenaan menjangkakan satu lagi tahun penyusutan dicatatkan pada 2025.


Lapan kontrak jangka panjang dijangka tamat dalam tempoh tiga tahun akan datang melibatkan Aman Sendai, Puteri Zamrud, Seri Alam, Seri Amanah, Seri Angkasa, Seri Ayu, Seri Begawan dan Seri Bijaksana.


Firma itu namun sudah mengambil kira isu kontrak dalam unjuran serta berpandangan buku tempahan LNG MISC yang meliputi sewaan bersama QatarEnergy dan Petronas LNG akan menyokong pemulihan.


"Selain LNG, segmen gas kumpulan berkenaan turut mempunyai enam kapal pengangkut etana sangat besar (VLEC) yang diramalkan terus menyumbang positif kepada pendapatan syarikat ini," kata CGSI.


Dalam segmen luar pesisir pula, MISC tambah firma tersebut, mencapai pengeluaran yang pertama bagi projek kapal jenis FPSO Mero-3 bernilai AS$2 bilion (RM7.8 bilion) di Brazil pada Oktober 2024. 


Sejak itu jelasnya, syarikat berkenaan sudah berjaya memperoleh beberapa kontrak perkhidmatan yang baharu termasuk tugasan FPSO Kelidang dan kapal jenis FSO untuk operasi LNG di Papua New Guinea.


CGSI dalam nada optimis menjangkakan, aset luar pesisir ini akan mula menyumbang kepada hasil serta keuntungan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) seawal 2026.


"Walaupun tempoh sebenar penyewaan itu hanya bermula antara 2028 hingga 2029, prospek saham MISC diramal mengambil kira kemenangan kontrak baharu tersebut serta pemulihan dalam segmen LNG.


Sehubungan itu, ia mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM8.98 sesaham, selepas menilai potensi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. - DagangNews.com