KUALA LUMPUR 17 April - Kadar inflasi Malaysia yang agak rendah dijangka membantu negara menghadapi kejutan bekalan tenaga, walaupun harga minyak global diramal kekal tinggi untuk tempoh lebih lama susulan perang di Timur Tengah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata bank pusat mengunjurkan inflasi keseluruhan berada pada purata antara 1.5% hingga 2.5% pada tahun 2026, sambil menyatakan bahawa situasi semasa mencerminkan kejutan berasaskan penawaran, dengan perkembangan dalam pasaran tenaga global mula memberi kesan kepada dinamik harga domestik.
“Sudah tentu, apa yang kita hadapi sekarang benar-benar merupakan kejutan penawaran, dan adalah baik untuk melihat bagaimana ia memberi kesan kepada harga domestik kita,” katanya kepada CNBC dalam satu temu bual di Washington.
Abdul Rasheed merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ke Mesyuarat Musim Bunga 2026, yang berlangsung dari 13 hingga 18 April di ibu pejabat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Washington.
Beliau turut berkata harga minyak dijangka kekal tinggi untuk tempoh berpanjangan, walaupun perang berakhir dalam beberapa minggu akan datang.
“Walaupun harga minyak meningkat, kita masih mempunyai subsidi bahan api untuk sebahagian penduduk di bawah BUDI95, jadi itu sedikit sebanyak akan meredakan kesan pemindahan keadaan kos global kepada harga domestik,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa peranan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga turut membantu mengurangkan kesan kejutan penawaran semasa.
“Pengukuhan ringgit juga akan memberi sedikit kesan dalam meredakan pemindahan harga, tetapi kita sedang memantau perkara ini dengan teliti,” katanya.
Sebelum ini, Bank Negara telah mengeluarkan unjuran asas harga minyak mentah antara AS$70 hingga AS$90 setong, dengan senario optimistik antara AS$90 hingga AS$100, manakala senario pesimis pada AS$110 dan ke atas.
Bagi ekonomi pula, Bank Negara menyatakan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.0% hingga 5.0% tahun ini mengambil kira senario asas serta sebahagian risiko penurunan.
Di peringkat domestik, Abdul Rasheed berkata sektor pelancongan mencatat pemulihan kukuh dengan melepasi tahap pra-pandemik dari segi ketibaan dan perbelanjaan, sekali gus membantu merancakkan ekonomi.
“Dari segi ketibaan pelancong tahun lepas, ia agak baik. Malah, ia melepasi tahap sebelum pandemik, baik dari segi ketibaan mahupun perbelanjaan pelancong itu sendiri,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa ekonomi Malaysia disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh daripada jangkaan serta asas ekonomi yang berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Prestasi pertumbuhan negara pada suku ketiga dan keempat tahun lepas melebihi unjuran, dengan ekonomi berkembang 5.2%.”
“Oleh itu, kita memasuki keadaan ini dari kedudukan yang kukuh. Memasuki keadaan ini dari kedudukan yang kukuh membantu kita, tetapi yang lebih penting, kita mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi situasi ini,” tambahnya.
Beliau berkata pemacu utama pertumbuhan kekal utuh, dengan penggunaan swasta dan pelaburan terus menunjukkan ketahanan.
“Dari segi pemacu pertumbuhan, apa yang kita lihat tahun lepas dari segi penggunaan swasta dan pelaburan masih kukuh, dan walaupun terdapat ketidaktentuan yang dibincangkan tahun lepas, eksport masih mencatat prestasi yang baik,” katanya.
Mengenai prestasi eksport, Abdul Rasheed berkata ia disokong khususnya oleh permintaan berterusan bagi produk elektrik dan elektronik, didorong oleh perkembangan pesat dalam kecerdasan buatan (AI). - BERNAMA








