Kadar inflasi pada Oktober 2025 reda berikutan harga minyak rendah, pengukuhan ringgit – CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar inflasi pada Oktober 2025 reda berikutan harga minyak rendah, pengukuhan ringgit – CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kadar inflasi menunjukkan pemulihan sederhana apabila Indeks Harga Pengguna (CPI) pada Oktober 2025 reda kepada 1.3% tahun ke tahun (YoY) berbanding 1.5% pada bulan sebelumnya.


CGS International (CGSI) namun berkata, CPI teras naik sedikit kepada 2.2% YoY, yang mencerminkan permintaan secara berterusan selepas menolak komponen makanan segar dan barang kawalan kerajaan.


Kata firma penyelidikan itu, inflasi makanan didapati turun kepada 1.5% YoY berbanding 2.1% pada September 2025, dengan makanan di luar rumah adalah paling rendah sejak Oktober 2024 pada 2.9% YoY.


"Kos pengangkutan menurun dengan harga purata petrol RON97 dan diesel lebih rendah, sejajar harga minyak mentah global turun kepada AS$64 (RM265) setiap tong pada Oktober 2025," katanya dalam nota.


Pelaksanaan subsidi BUDI95 secara sasaran juga jelas CGSI, amat membantu manakala kos utiliti yang rendah disebabkan rebat tarif Tenaga Nasional untuk pengguna domestik mengekalkan bil elektrik.



Artikel berkaitan: Inflasi Malaysia menyusut 1.3% pada Oktober 2025 - DOSM

 

Firma berkenaan menjangkakan faktor-faktor tertentu akan terus mengekalkan kadar inflasi yang lebih rendah dan mempengaruhi CPI pada November 2025, antaranya harga minyak dijangka rendah hingga 2026.


Selain itu, kos utiliti adalah terkawal berikutan harga caj bulanan elektrik dijangka terus rendah, menyokong CPI keseluruhan, di samping kos makanan yang masih dianggap murah di pasaran tempatan.


"Kami menilai pelbagai inisiatif kerajaan termasuk program Jualan Rahmah dan pelaksanaan subsidi yang masih berjalan diunjurkan mampu mengekalkan harga makanan agar lebih stabil," kata CGSI.


Dengan faktor berkenaan dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), ia menurunkan unjuran CPI 2025 kepada 1.4% YoY daripada 1.6% dan 2026 kepada 1.5% berbanding 2.0%.


Pada masa sama, firma tersebut menilai trend ini sebagai positif untuk kuasa beli pengguna, sambil mengekalkan prospek inflasi yang rendah untuk baki 2025 dan sepanjang 2026. - DagangNews.com