JV Gamuda menang kontrak MRT Kaohsiung RM3.3 bilion, projek ke-10 di Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

JV Gamuda menang kontrak MRT Kaohsiung RM3.3 bilion, projek ke-10 di Taiwan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - Gamuda Bhd menerusi usaha sama (JV) dengan syarikat pembinaan Taiwan, Shang Ting Construction Co Ltd, berjaya memperoleh kontrak kerja awam dan kemudahan elektromekanikal bagi Laluan MRT Metropolitan Kaohsiung Xiaogang–Linyuan bernilai RM3.3 bilion.

 

Gamuda dalam kenyataan berkata, usaha sama tidak diperbadankan itu dimiliki sebanyak 70% oleh kumpulan tersebut, sekali gus memberikan bahagian nilai kontrak sebanyak RM2.31 bilion kepada syarikat berkenaan.

 

Menurutnya, Shang Ting yang memegang baki 30% kepentingan merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan am dan infrastruktur awam di Taiwan.

 

“Skop projek merangkumi pembinaan tiga stesen bawah tanah, satu stesen bertingkat, landasan berkembar bawah tanah sepanjang 3.88 kilometer serta enam laluan silang.

 

“Projek itu dijangka disiapkan dalam tempoh tujuh tahun empat bulan,” katanya hari ini.

 

Sebelum ini, Gamuda berjaya menyiapkan Pakej C04 Laluan MRT Orange Kaohsiung dan ketika ini sedang melaksanakan Pakej YC01 Laluan MRT Kuning di bandar sama.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak terbaharu tersebut merupakan projek ke-10 yang berjaya diperoleh syarikat di Taiwan sejak memasuki pasaran negara itu pada 2002.

 

Projek terdahulu yang dimenangi Gamuda di Taiwan ialah Terminal LNG Antara Benua Pelabuhan Kaohsiung melibatkan kerja pembinaan dermaga dan jalan penghubung.

 

“Pencapaian ini mencerminkan momentum pertumbuhan pesat Gamuda serta pengukuhan kedudukannya dalam pasaran Taiwan.

 

“Sejak memasuki Taiwan pada 2002, Gamuda berkembang menjadi rakan strategik dipercayai dalam pembangunan infrastruktur negara itu,” katanya.

 

Menurut kumpulan itu, kejayaan memperoleh projek ke-10 berkenaan turut membuktikan kepakaran Gamuda dalam mengendalikan projek infrastruktur kompleks dan pelbagai disiplin termasuk sistem rel serta kerja marin berskala besar. - DagangNews.com