Juruaudit luar menilai PLB Engineering belum tentu dapat beroperasi susulan kerugian pada FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juruaudit luar menilai PLB Engineering belum tentu dapat beroperasi susulan kerugian pada FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 DisPLB Engineering Berhad mengesahkan juruaudit luar syarikat, Grant Thornton Malaysia PLT, menilai wujudnya ketidaktentuan material keupayaan kumpulan meneruskan operasi.


Katanya, ia merujuk penyata kewangan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 merekodkan kerugian bersih RM17.51 juta bagi FY25, yang sedikit meningkat berbanding RM17.12 juta pada FY24.


Liabiliti semasa kumpulan melebihi aset semasa iaitu RM25.85 juta berbanding RM54.79 juta pada FY24, manakala liabiliti semasa syarikat adalah RM71.23 juta berbanding RM52.18 juta sebelumnya.


"Kesinambungan operasi kumpulan dan syarikat justeru bergantung kepada kejayaan penjualan aset, penyempurnaan projek pembangunan hartanah dan pembinaan yang masih sedang berjalan," katanya.


Selain itu, PLB Engineering dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini turut mengharapkan serta sokongan kewangan secara berterusan daripada pihak bank dalam isu pembiayaan operasinya.


Pada masa sama, bagi menangani cabaran kewangan semasa, ia sedang giat menawarkan tender projek baharu termasuk kilang industri dan infrastruktur dengan aliran pendapatan yang berulang.


Syarikat berkenaan juga memantau kos projek sedia ada dan memastikan penyelesaian terhadap projek yang dalam tempoh kontrak, antaranya skim perumahan mampu milik di Paya Terubong, Pulau Pinang.


"Projek utama ini sudah mencapai 83% siap dan 95% unit kediaman dibina berjaya dijual," kata PLB Engineering sambil berusaha mencari pihak berkepentingan untuk memperoleh tanah belum dibangunkan.


Kumpulan berkenaan juga meneruskan penjualan secara berkelompok projek kondominium 'The Skyline' yang bernilai RM129 juta, dan sedang dilaksanakan melalui anak syarikatnya, PLB Land Sdn Bhd.


Pengarah-pengarah kumpulan tersebut yakin, dengan pemulihan pasaran hartanah dan sokongan bank, syarikat mampu menjana aliran tunai mencukupi untuk memenuhi obligasi dan keperluan modal kerja.


Pengumuman PLB Engineering ini dilakukan susulan keperluan di bawah Perenggan 9.19(37) Peraturan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com