Jumlah bilionair di Malaysia dijangka meningkat 39% menjelang 2031 – Knight Frank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jumlah bilionair di Malaysia dijangka meningkat 39% menjelang 2031 – Knight Frank

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Bilangan bilionair di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 39% menjelang tahun 2031, menurut laporan The Wealth Report 2026 oleh Knight Frank yang menilai trend kekayaan global serta perkembangan pasaran hartanah utama dunia.

 

Peningkatan ini meletakkan Malaysia di kedudukan ke-15 dalam kalangan negara dengan pertumbuhan bilionair terpantas di dunia yang mencerminkan pengukuhan kekayaan individu berpendapatan tinggi di negara ini.

 

Secara global, laporan itu menunjukkan jumlah individu berpendapatan ultra tinggi dengan aset melebihi AS$30 juta (sekitar RM118.7 juta) meningkat sebanyak 162,191 orang antara 2021 hingga 2026, bersamaan kira-kira 89 individu baharu setiap hari di seluruh dunia.

 

 

 

 

 

 

Ketua Penyelidikan Global Knight Frank, Liam Bailey berkata ini adalah antara perubahan paling ketara dalam pengagihan kekayaan global moden, dengan pertumbuhan pesat dipacu oleh ekonomi baharu serta ketahanan modal swasta walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan inflasi.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi pula berkata di negara ini, golongan perpendapatan lebih AS$30 juta dijangka meningkat 20.1% dalam tempoh lima tahun akan datang, daripada 1,566 individu pada 2026 kepada 1,881 individu menjelang 2031, menunjukkan momentum pertumbuhan kekayaan yang semakin kukuh.

 

“Pertumbuhan ini didorong oleh pengembangan ekonomi Malaysia, prestasi pasaran modal yang aktif serta pengukuhan Ringgit dalam tempoh tertentu, selain peningkatan aktiviti penyenaraian syarikat sejak 2020,” katanya. 

 

Menurut laporan itu lagi, faktor utama yang menyokong peningkatan kekayaan termasuk kestabilan ekonomi negara, aliran pelaburan domestik yang kukuh serta keyakinan pelabur terhadap prospek jangka panjang Malaysia.

 

Dalam sektor hartanah, kediaman mewah di Kuala Lumpur mencatatkan pertumbuhan harga sebanyak 1.1% pada 2025, mencerminkan prestasi stabil dalam segmen premium walaupun keadaan pasaran keseluruhan masih mencabar.

 

Selain itu, jumlah transaksi perumahan di Malaysia turut meningkat daripada 399,008 unit pada 2023 kepada 420,545 unit pada 2024, menunjukkan aktiviti pasaran yang lebih rancak dalam sektor kediaman.

 

Pasaran hartanah mewah kekal berdaya tahan, namun pelabur kini lebih berhati-hati dan cenderung mempelbagaikan portfolio bagi mengurus risiko dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

 

Negara Asia Pasifik

Jika dibandingkan dengan rantau Asia Pasifik, prestasi harga hartanah menunjukkan perbezaan ketara apabila Hong Kong mencatatkan penurunan 2.1% pada 2025, manakala Singapura terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 7.9% dengan harga mewah melebihi AS$6,000 sekaki persegi (sekitar RM23,782 sekaki persegi).

 

Dalam masa sama, aliran pelaburan luar negara oleh pelabur Malaysia meningkat 65% suku ke suku kepada RM2.8 bilion pada suku keempat 2025, mencerminkan peningkatan strategi kepelbagaian aset oleh pelabur tempatan.

 

Trend ini turut disokong oleh peningkatan mobiliti golongan ultra kaya yang semakin mengurus kehidupan merentas pelbagai negara, dengan ramai menghabiskan kurang daripada 90 hari setahun di pusat kewangan utama dunia.

 

 

 

 

 

 

 

Antara destinasi utama pelaburan dan penempatan kekayaan termasuk United Kingdom dan Australia, yang terus menarik minat pelabur Malaysia sebagai lokasi selamat bagi pemeliharaan aset jangka panjang.

 

Secara keseluruhannya, laporan ini menunjukkan Malaysia berada dalam laluan pertumbuhan kekayaan yang positif, dipacu oleh ekonomi yang stabil, peningkatan pelaburan serta perkembangan pesat dalam segmen individu berpendapatan tinggi yang memberi impak kepada pasaran hartanah dan struktur ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com