Jualan saham MAHB tidak akan jejas isu keselamatan negara - Kementerian Pengangkutan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan saham MAHB tidak akan jejas isu keselamatan negara - Kementerian Pengangkutan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Feb — Kementerian Pengangkutan berpandangan bahawa langkah penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak menjejaskan isu keselamatan negara, berdasarkan komitmen dan kerjasama tinggi antara pelbagai pihak yang berkaitan.
 

Ini ujarnya, termasuk MAHB sendiri di samping Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aspek keselamatan semua operasi terminal udara di seluruh negara berada pada tahap yang tertinggi.
 

Kementerian juga menegaskan bahawa kerajaan tidak menjual saham MAHB; sebaliknya, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara kolektif akan meningkatkan pegangan saham mereka dalam MAHB kepada 70 peratus daripada hanya 41 peratus.
 

Ia melibatkan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan anak syarikat Khazanah Nasional Berhad iaitu UEM Group Berhad malah MAHB akan kekal beroperasi sebagai aset strategik negara, selepas penswastaan tersebut selesai dilaksanakan.
 

"Peranan MAHB kekal terhad kepada operasi lapangan terbang di bawah bidang kuasanya, dengan kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia kekal di bawah pemilikan kerajaan, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian operasi," kata Kementerian Pengangkutan.
 

Kenyataan bertulis di Dewan Rakyat itu diterbitkan menerusi laman web Parlimen sebagai jawapan kepada Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai bagaimana penjualan saham MAHB itu boleh menjejaskan aspek keselamatan dan isu kedaulatan Malaysia.
 

Wakil rakyat pembangkang tersebut turut bertanyakan mengenai apakah langkah dibuat kementerian bagi memastikan kawalan ke atas aset penting seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak dikompromi oleh kepentingan pihak luar.
 

Menyentuh berhubung isu tersebut, Kementerian Pengangkutan seterusnya menjelaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan Malaysia akan terus terpelihara, kerana konsortium itu diterajui oleh GLIC melalui pemegangan saham majoriti besar sebanyak 70 peratus.
 

Selain itu, pihak kerajaan, melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), akan mempunyai saham istimewa atau emas dalam MAHB yang kemudian membolehkan ia berhak untuk melantik pengarah, termasuk mengisi jawatan pengerusi dan pengarah urusan.
 

"Langkah ini untuk memastikan semua keputusan strategik yang dibuat oleh konsortium itu sejajar dengan kepentingan negara. Sebagai sebuah negara berdaulat, pintu masuk di lapangan terbang, adalah kekal dikawal ketat oleh agensi penguatkuasaan negara," katanya.
 

Bahkan jelasnya, lapangan terbang di Malaysia sudah ditetapkan sebagai kawasan larangan di bawah seksyen 4 dan 5 Akta Kawasan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) serta disenaraikan dalam infrastruktur kritikal oleh Jawatankuasa Pusat Infrastruktur Kritikal, yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
 

Sehubungan itu, kementerian tersebut melalui CAAM memastikan mereka yang terlibat dalam industri penerbangan harus mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mengutamakan keselamatan penumpang.
 

Usaha berkenaan jelasnya, meliputi pelbagai langkah keselamatan ketat yang berkaitan dengan lapangan terbang, operasi pesawat, pengendalian penumpang, pergerakan kargo, perkhidmatan bagasi, dan kakitangan yang bertugas.
 

CAAM pada masa yang sama, memperhebatkan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan standardnya dengan meningkatkan audit dan pemeriksaan berkala untuk mengelakkan kejadian tidak diingini melibatkan pengangkutan udara.
 

"Tindakan ini demi memastikan pihak berkepentingan industri penerbangan, termasuk MAHB dan Senai Airport Services Sdn Bhd (SATSSB), bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti PDRM untuk mematuhi peraturan dan piawaian yang ditetapkan," katanya.
 

Malahan CAAM sering menjalankan audit tahunan ke atas MAHB untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan dan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh CAAM dan ICAO.
 

Agensi itu juga melakukan audit keselamatan secara berkala dan rawak untuk menilai dan menambah baik semua aspek keselamatan lapangan terbang mengikut peraturan dan arahan sedia ada, tambahnya. - DagangNews.com