KUALA LUMPUR 27 Ogos – Jualan lebih lemah daripada jangkaan serta perbelanjaan operasi tinggi menjadi faktor utama kerugian besar Supermax Corporation Berhad bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), menurut TA Securities.
Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM121.7 juta, melebihi unjuran awal firma penyelidikan tersebut yang menjangkakan kerugian RM85.1 juta, dan turut meleset daripada jangkaan konsensus pasaran.
Tambahnya, bagi tempoh suku keempat FY25 (4QFY25) sahaja, kerugian sebelum cukai (LBT) kumpulan berkenaan meningkat drastik kepada RM101.8 juta, berbanding sebanyak RM22.8 juta dicatatkan pada suku yang sebelumnya.
"Kejatuhan ini disumbangkan oleh penurunan hasil jualan 24% suku ke suku (QoQ) kepada RM154.7 juta dan gangguan bekalan gas selama dua minggu susulan insiden di Putra Heights," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Turut menjadi faktor negatif ialah kesan penurunan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) serta kos perbelanjaan susut nilai tambahan sebanyak RM15 juta susulan pelaksanaan automasi dan naik taraf loji kumpulan itu.
Firma berkenaan turut menyatakan bahawa peningkatan ketara kos operasi mungkin berkaitan dengan kos permulaan kilang baharu Supermax di AS, yang kini sedang menjalani ujian operasi.
Secara keseluruhan, hasil FY25 kumpulan ini masih lagi mampu meningkat sebanyak 21% tahun ke tahun (YoY) didorong oleh faktor kenaikan harga purata jualan (ASP) dan volum jualan.
"Bagaimanapun, LBT tetap melebar berikutan lonjakan kos operasi serta persaingan harga yang semakin sengit dalam industri sarung tangan global," kata firma tersebut.
Mengambil kira keputusan terkini itu, TA Securities menyemak semula unjuran mereka dengan FY26 dijangka kerugian bersih meningkat kepada RM42.4 juta daripada RM12.0 juta sebelum ini, manakala FY27 pula untung bersih disemak turun kepada RM24.8 juta berbanding RM52.9 juta sebelumnya.
Firma itu menjangkakan volum jualan akan bertambah baik mulai FY26 apabila pelanggan kembali menambah stok, namun harga jualan dijangka kekal rendah disebabkan lebihan bekalan global yang dijangka berterusan sekurang-kurangnya tiga tahun lagi.
Tekanan persaingan turut dijangka meningkat berikutan kemasukan pengeluar sarung tangan dari China ke Indonesia dan Vietnam, yang bakal menambah kapasiti pasaran antarabangsa secara ketara.
Supermax kata TA Securities, memaklumkan bahawa kilangnya di AS baru-baru ini memperoleh pensijilan ISO 9001 dan ISO 13485, sebagai bukti komitmen terhadap standard kualiti.
"Namun, kami menjangkakan kilang tersebut masih akan menyumbang kepada kerugian dalam FY26 akibat kos pengeluaran yang tinggi," kata firma berkenaan.
Di Malaysia pula, kumpulan tersebut sedang giat menaik taraf barisan pengeluaran lama di kilangnya bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos jangka panjang.
TA Securities mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham Supermax, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada 53 sen sesaham daripada 62 sen sebelum ini.
Penilaian itu katanya, dibuat berdasarkan 0.4 kali nisbah harga terhadap nilai buku (P/B) FY26.
“Dengan tekanan harga, lebihan bekalan berpanjangan, dan kos operasi meningkat, kami jangka Supermax kekal dalam fasa pemulihan yang mencabar sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun akan datang,” jelas firma itu. - DagangNews.com








