KUALA LUMPUR 4 Sept – Prestasi suku pertama Power Root Berhad terus dibayangi oleh jualan lemah di pasaran rantau Asia Barat serta penurunan permintaan terhadap produk Oligo dikeluarkannya.
Menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest), pendapatan bagi 1QFY26 susut 11.0% secara tahunan (YoY) didorong kelembapan pasaran eksport dan normalisasi permintaan selepas lonjakan tahun lalu.
Firma penyelidikan tersebut berkata, Oligo, yang sebelum ini mendapat permintaan tinggi sebagai alternatif kepada Milo, kini kembali kepada tahap biasa apabila Nestlé meningkatkan kempen secara agresif.
"Bagaimanapun, Power Root mencatatkan keuntungan bersih RM7.8 juta, meningkat 34.4% suku ke suku (QoQ) dan 9.7% YoY, disokong peningkatan margin kasar kepada 54.8%," kata AmInvest dalam notanya.
Tambahnya, pelarasan harga pada Mac 2025 dijangka mengekalkan margin walaupun harga kopi Arabica melonjak 34% sejak Julai 2025, kerana syarikat mengunci harga niaga hadapan hingga Disember 2026.
Kumpulan berkenaan kata firma berkenaan turut sudah bersedia melaksanakan kenaikan harga tambahan jika perlu, tetapi terdapat tanda-tanda jualan eksport mula pulih semula dengan peningkatan 11.5% QoQ.
AmInvest namun menambah, ketidakpastian masih lagi berterusan kerana Power Root belum memperoleh sebarang pengedar rasmi di Arab Saudi, pasaran strategik utama di rantau Asia Barat selama ini.
"Kumpulan ini mujur menerima perkembangan positif berikutan potensi semakan semula sistem cukai gula di Emiriah Arab Bersatu (UAE), dijangka beralih kepada sistem ambang pada 2026," katanya.
Langkah kerajaan negara berkenaan kata firma tersebut, bakal mengecualikan Power Root daripada dikenakan cukai tersebut, satu faktor yang boleh menyokong pemulihan jualan di rantau berkenaan.
Justeru, AmInvest mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Power Root serta harga sasaran tidak berubah pada RM1.15 sesaham, berdasarkan unjuran perolehan 2026 sejajar dengan purata lima tahun.
Selain itu, kumpulan tersebut kekal menarik bagi pelabur berpendapatan tetap, dengan kadar agihan dividen 80% yang menghasilkan pulangan antara 4.3% hingga 5.3% untuk tiga tahun akan datang.
"Kami difahamkan yang syarikat ini telah mengisytiharkan dividen interim 1.5 sen sesaham bagi suku kedua, naik berbanding 1.2 sen pada tempoh 1QFY25," kata firma itu. - DagangNews.com








