Jualan kukuh segmen optik, untung bersih Focus Point pada 2QFY25 diramal naik 19% - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kukuh segmen optik, untung bersih Focus Point pada 2QFY25 diramal naik 19% - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — Focus Point Holdings Berhad diramal mampu mencatatkan keuntungan bersih meningkat 19 peratus kepada RM10 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, peningkatan berkenaan disokong oleh pertumbuhan jualan kukuh dalam segmen optik, serta dipacu pelbagai inisiatif pemasaran secara berkesan pada tempoh itu.

 

Tambahnya, walaupun keputusan kewangan 2QFY25 akan diumumkan pada 19 Ogos 2025, kumpulan tersebut diyakini merekodkan prestasi konsisten dalam sektor runcit yang lebih luas di seluruh negara.

 

"Kami terus memihak kepada saham Focus Point dan dalam kedudukan selesa sebagai peneraju pasaran serta memanfaatkan populasi rabun yang meningkat di Malaysia," kata RHB Research dalam notanya.

 

Selain itu, firma berkenaan menjangkakan keputusan pada tiga bulan tersebut selaras ramalannya, dengan keuntungan bersih paling minimum dianggarkan pada RM9 juta atau peningkatan tujuh peratus.

 

Katanya, sebelum itu pada tempoh 1QFY25, jualan segmen optikal kumpulan tersebut meningkat 7.4 peratus kepada RM61.1 juta didorong prestasi kukuh dalam saluran korporat dan jualan runcit.

 

Mengulas lanjut, RHB Research berasa yakin dengan usaha Focus Point mengembangkan kehadirannya di Sabah dan Sarawak, dengan memanfaatkan pasaran yang kurang liputan serta persaingan masih kecil.

 

"Baru-baru ini, kami difahamkan ia melancarkan kedai konsep Focus Point baharu dengan modal RM1.3 juta berbanding premis biasa hanya RM0.8 juta dengan ruang lantai lebih besar," kata firma itu.

 

Di samping itu, pihak pengurusan mendedahkan bahawa salah satu pembekal utamanya telah menaikkan harga runcit sebanyak 15 peratus melibatkan lebih 50 peratus produk tanpa ada peningkatan kos.

 

Langkah tersebut kara RHB Research, mula berkuat kuasa pada bulan ini, yang boleh membawa kepada pengembangan margin keuntungan kasar secara bermakna untuk perolehan kumpulan berkenaan sendiri.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu akan terus melancarkan inisiatif pemasaran yang berkesan, termasuk jerayawara dan kempen promosi, untuk memacu jualan runcit optik dan korporat.

 

"Kesan pelaksanaan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk petugas asing adalah minimum memandangkan Focus Point hanya menggaji seramai 70 orang kakitangan asing," tambahnya.

 

Begitu juga langkah perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sejak 1 Julai 2025 yang menurut pihak pengurusannya cuma dijangka menambah RM300,000 dalam kos operasi bulanan Focus Points.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan ini namun harga sasaran diturunkan kepada 99 sen daripada RM1.05. - DagangNews.com