Jualan kapal baharu bernilai RM188 juta tingkatkan untung Coastal Contracts pada FY26 — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan kapal baharu bernilai RM188 juta tingkatkan untung Coastal Contracts pada FY26 — TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 DisCoastal Contracts Berhad mengumumkan kejayaan kumpulan itu memperoleh kontrak jualan dua kapal baharu yang bernilai keseluruhan RM187.6 juta, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan berkenaan dilihat bakal menyokong lonjakan ketara pendapatan FY26 apabila dibina melalui dua anak syarikat milikan penuh syarikat berkenaan sendiri.


Kapal spesifikasi tinggi tersebut masing-masing sebuah 'offshore support vessel' (OSV) dan 'marine transport vessel' akan dibina Coastal International Marine Inc dan Pleasant Engineering Sdn Bhd.


"Bagaimanapun impak keuntungan kumpulan ini hanya akan diiktiraf apabila kapal berkenaan dapat diserahkan kepada pembeli, selaras polisi perakaunan syarikat," kata TA Securities dalam notanya.


Berdasarkan margin sejarah dan struktur kontrak, firma itu menganggarkan sumbangan keuntungan bersih teras sekitar RM50 juta daripada transaksi sekali sahaja ini kepada unjuran kewangan FY26.


Ia namun menilai transaksi penjualan dua kapal ini sebagai bukti permintaan secara berterusan terhadap keupayaan pembinaan oleh Coastal, terutamanya dalam segmen kapal sokongan luar pesisir.


Syarikat berkenaan jelas TA Securities, kini mempunyai sejumlah tiga 'utility support vessel' yang dalam pembinaan dengan dua daripadanya itu akan dihantar pada 2H25, manakala satu lagi pada 1H26.


"Sementara tiga buah kapal jenis OSV yang dianggap sebagai bernilai tinggi pula sedang dirancang dengan penghantaran secara berperingkat antara tempoh 1H26 hingga 1H27," tambah firma penyelidikan itu.


Perkembangan tersebut katanya, menegaskan keupayaan Coastal untuk mengewangkan barisan pembinaan kapal yang sedia ada, selain memastikan operasi teras dan tunggakan tempahan adalah kekal kukuh.


TA Securities menaikkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY27 masing-masing sebanyak 42.9% dan 22.8% bagi mengambil kira sumbangan positif jualan kapal tersebut serta momentum berterusan hingga FY27.


Selaras dengan unjuran baharu, firma berkenaan turut menaikkan harga sasaran sesaham kepada RM2.21 berbanding hanya RM2.04, berdasarkan penilaian sejumlah bahagian. - DagangNews.com