Jualan benih naik ketara, Sarawak Plantation Berhad sekali lagi catat lebihan had mandat 10% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan benih naik ketara, Sarawak Plantation Berhad sekali lagi catat lebihan had mandat 10%

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 MeiSarawak Plantation Berhad memaklumkan kepada Bursa Malaysia yang kumpulan perladangan itu sekali lagi mencatatkan lebihan ketara urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT).


Menurutnya, situasi berlaku apabila nilai sebenar jualan benih melepasi anggaran mandat pemegang saham lebih 10%, yang menimbulkan persoalan isu ketepatan unjuran dan kawalan dalaman syarikat.


Ia memaklumkan transaksi melibatkan anak syarikatnya, Sarawak Plantation Agriculture Development Sdn Bhd (SPAD) dengan Ta Ann Plywood Sdn Bhd, terus menunjukkan peningkatan di luar jangkaan.


"Bagi tempoh terkini dari 3 Mac hingga 4 Mei 2026, jualan benih berjumlah RM52,000, sekali gus menjadikan nilai terkumpul melebihi anggaran asal RM324,000 iaitu sebanyak 16.05%," jelasnya.


Keadaan tersebut kata Sarawak Plantation, merupakan kali ketiga lebihan dilaporkan sejak mandat had berkenaan diluluskan oleh pemegang saham kumpulan berkenaan pada mesyuarat sekitar Mei 2025.


Sebelum ini, ia mengumumkan lebihan sebanyak 51.85% pada Februari 2026, diikuti 16.05% pada Mac 2026, menunjukkan corak berulang ketidakpadanan antara anggaran dan pelaksanaan sebenar.


Tambah syarikat berkenaan lagi, peningkatan ketara tersebut berpunca daripada jumlah benih yang dijual lebih tinggi berbanding unjuran awal yang kelaziman digunakan dalam pengiraan mandat.


"Mandat RRPT itu sebelum ini diluluskan majoriti pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 23 Mei 2025, berdasarkan pekeliling bertarikh 22 April 2025," jelas Sarawak Plantation.


Perkembangan ini dijangka menarik perhatian pelabur terhadap disiplin perancangan operasi dan ketelusan unjuran kumpulan tersebut khususnya implikasi kepada tadbir urus korporat. - DagangNews.com