KUALA LUMPUR 20 April - Jualan automotif negara dijangka kembali sederhana pada April selepas mencatatkan prestasi lebih lemah pada suku pertama 2026, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, jumlah volum industri (TIV) pada Mac 2026 merekodkan penurunan kepada 63,489 unit berbanding 72,931 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, secara bulan ke bulan, TIV Mac meningkat 21% daripada 52,414 unit pada Februari, disokong oleh permintaan sempena musim perayaan Hari Raya.
Secara kumulatif, TIV bagi tiga bulan pertama 2026 susut 3% kepada 182,113 unit berbanding 188,143 unit dalam tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus membalikkan momentum pertumbuhan yang dicatatkan sebelum ini.
Menurut MAA, prestasi jualan Mac walaupun lebih rendah secara tahunan, masih berada dalam julat purata lima tahun kebelakangan ini sekitar 72,000 unit.
Penurunan jualan didorong terutamanya oleh segmen kenderaan penumpang yang merosot 13% tahun ke tahun, diikuti kenderaan komersial yang menyusut 12%.
Dalam pada itu, pengeluaran kenderaan turut mencatatkan penurunan apabila susut 17% tahun ke tahun dan 3.2% bulan ke bulan kepada 48,129 unit pada Mac.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 45,000 unit merupakan kenderaan penumpang manakala 3,129 unit lagi adalah kenderaan komersial.
Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, jumlah pengeluaran terkumpul berkurangan 10% kepada 159,367 unit berbanding 177,603 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
MAA menjangkakan pasaran automotif akan terus dipengaruhi oleh faktor permintaan domestik serta keadaan ekonomi semasa, meskipun sokongan bermusim daripada musim perayaan memberi sedikit rangsangan kepada jualan jangka pendek. - DagangNews.com








