KUALA LUMPUR 23 Sept – JS Solar Holding Berhad menyasarkan projek solar melebihi 300 megawatt (MW) menerusi penglibatan dalam program Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) di negeri itu.
Pengarah Urusannya, Johnson Chai Jeun Sian berkata, langkah berkenaan selari dengan strategi syarikat tersebut untuk memperkukuhkan keupayaan dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Teknologi itu penting bagi kestabilan grid apabila tenaga boleh diperbaharui (RE) semakin dominan, manakala ECOS menawarkan banyak peluang menerusi kontrak SELCO-PV dan solar berskala besar (LSS).
“Dengan dana tawaran awam permulaan (IPO), kami mahu mempercepatkan pelan pengembangan JS Solar, termasuk membuka pejabat jualan dan sokongan di Kota Kinabalu menjelang akhir 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyenaraian syarikat tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini dan dibuka dengan harga 40 sen sesaham, 29% lebih tinggi berbanding IPO.
JS Solar kini menguasai 4.5% kapasiti solar fotovoltaik (PV) terpasang Malaysia dan 14.3% daripada nilai keseluruhan pasaran perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Mengulas lanjut, Jeun Sian optimis prospek industri kekal positif, didorong oleh sasaran kerajaan untuk menjadikan 70% campuran tenaga negara bersumberkan RE menjelang 2050, menerusi banyak skim.
"Ini termasuk inisiatif di bawah LSS 5+, Solar Accelerated Transition Action Programme (Solar ATAP) serta program SELCO PV dan LSS Sabah yang ditawarkan oleh ECOS sendiri," tambah beliau.
Permintaan terhadap perkhidmatan EPCC juga katanya, dijangka terus meningkat, sekali gus membuka peluang luas buat syarikat itu untuk mengintegrasikan sistem BESS dalam tawaran pada masa depan.
Jeun Sian menambah, antara rekod penting JS Solar ialah projek BESS 1MWac/2MWh di Kulim Hi-Tech Park, Kedah dilaksanakan bersama Huawei dan NUR Distribution Sdn Bhd sebagai kontraktor utama.
Walaupun subsidiari Tenaga Nasional Berhad (TNB), GSPARX Sdn Bhd kekal sebagai pelanggan utama merangkumi 30.7% hasil dan hampir separuh daripada buku tempahan sedia ada, JS Solar kekal aktif.
"Kami juga bersedia untuk berusaha memperluaskan lagi pangkalan pelanggan melalui penyertaan dalam pelbagai tender sistem solar atas bumbung serta menambah bilangan staf jualan," kata beliau.
Penyenaraian JS Solar menyaksikan TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory ialah penasihat kewangan. - DagangNews.com








