KUALA LUMPUR 11 Sept – Tawaran awam permulaan (IPO) JS Solar Holdings Berhad menjelang penyenaraian di Pasaran ACE mencatat permintaan tinggi dengan terlebih langganan sebanyak 48 kali.
Menurut kenyataan daripada firma penaja terbitan, TA Securities, syarikat itu menerima permohonan lebih 800 juta saham baharu bernilai RM248 juta, menandakan sentimen positif pelabur semakin pulih.
Tambahnya, bahagian IPO untuk Bumiputera pula terlebih langganan sebanyak 46 kali, manakala permintaan bagi saham bukan Bumiputera melebihi 50 kali daripada jumlah saham yang ditawarkan.
"Selain itu, saham diperuntukkan kepada individu yang layak habis dilanggan, sementara saham baru dan sedia ada kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian turut diserap," katanya.
Minat tinggi terhadap saham JS Solar menggambarkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat susulan kenaikan pasaran global dan jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) sendiri.
Sebelum ini, Express Powerr Solutions (M) Bhd, yang melaksanakan perniagaan penyewaan penjana, meraih tempahan 680 juta saham bernilai hampir RM136 juta, dengan IPO terlebih langganan 14 kali.
JS Solar dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE pada 23 September 2025, manakala Express Powerr pula akan mengikut jejak syarikat perkhidmatan rumusan solar tersebut sehari selepas itu.
Terdahulu, JS Solar merancang menggunakan hasil IPO bagi pembelian dan pengubahsuaian pejabat, pengembangan perniagaan dan aktiviti pemasaran, pembayaran pinjaman bank, serta modal kerja.
Secara am, syarikat berkenaan juga mengendalikan pelbagai operasi dan penyelenggaraan sistem solar serta pemasangan tenaga yang berasaskan solar milik ramai pelanggannya di seluruh negara.
IPO JS Solar dijangka mengutip lebih RM30 juta, dengan RM24.18 juta daripada jumlah tersebut akan masuk terus ke syarikat yang berpusat di Shah Alam, Selangor.
Manakala baki RM6.05 juta hasil jualan saham sedia ada diperoleh oleh Pengarah Urusan Chai Jeun Sian, Pengarah Bukan eksekutif Ikwan Hafiz Jamaludin dan serta pemegang saham utama Sa Chee Peng.
TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan agen penempatan bagi IPO syarikat berkenaan. - DagangNews.com








