KUALA LUMPUR 25 Sept – Johor muncul sebagai hab pusat data (DC) paling pesat berkembang di Asia Tenggara, dengan jumlah bekalan meningkat hampir dua kali ganda kepada 5.8 gigawatt (GW).
Menurut laporan terbaharu Knight Frank Asia-Pacific DC, angka berkenaan direkodkan setakat suku kedua 2025 dan mendedahkan negeri itu memainkan peranan utama dalam lonjakan luar biasa serantau.
Ketua Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Johor mencatatkan 13GW projek baharu, peningkatan tahunan sebanyak 160%.
“Negeri ini semakin menyerlah sebagai hab infrastruktur digital serantau ekoran pertumbuhan pantas penggunaan awan serta permintaan dipacu kecerdasan buatan (AI),” katanya dipetik Business Times.
Sepanjang separuh pertama 2025, aktiviti penyewaan DC di Johor mencecah 260 megawatt (MW), dengan 61% permintaan datang daripada platform media sosial, manakala selebihnya dipacu aplikasi AI.
Kadar kekosongan pula kata Amy, hanya 1.1%, antara yang paling ketat di rantau Asia Pasifik, serta mencerminkan kekangan bekalan kuasa dan tanah sebagai cabaran utama pertumbuhan masa depan.
Dalam pada itu, Pengarah Rumusan Tanah dan Industri Knight Frank Malaysia, Chelwin Soo berkata, akses kepada tenaga dan pertumbuhan mampan akan menjadi penentu pengembangan DC yang selanjutnya.
“Johor sedang matang sebagai hab utama, bukan hanya untuk media sosial, malah untuk penyedia awan dan AI global yang melihat Malaysia sendiri sebagai sebuah pangkalan cukup strategik,” ujarnya.
Lonjakan ini turut didorong dasar kerajaan, khususnya Garis Panduan Perancangan DC Kebangsaan yang membantu pelabur dan pemaju menangani cabaran pembangunan infrastruktur digital berskala besar.
Firma seperti AWS, Microsoft, Google dan Meta menjanjikan pelaburan lebih AS$160 bilion (RM674 bilion) di seluruh dunia pada 2025, dengan sebahagian besar ke pasaran Asia Pasifik, termasuk Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pusat Data Asia Pasifik Knight Frank, Fred Fitzalan Howard berkata, skala pelaburan yang besar mencerminkan kedudukan penting rantau ini sendiri dalam ekonomi digital global.
“Lokasi seperti Johor yang mengimbangi pertumbuhan DC dengan pelaksanaan dasar mesra pelabur serta keupayaan bekalan tenaga yang konsisten akan terus menonjol di peringkat serantau,” kata beliau.
Sementara bandar seperti Tokyo, Melbourne, Seoul dan Mumbai kekal aktif, Johor kini tampil sebagai titik tumpuan baharu ekoran kepantasan pembangunan, permintaan kukuh, dan dasar proaktif kerajaan.
Penganalisis menjangka kedudukan Johor terus kukuh sebagai destinasi pilihan operator berskala hiper, dan mengekalkan daya tarikan Malaysia dalam landskap digital global kompetitif. - DagangNews.com








