Johor Plantations raih penarafan ESG 3 bintang FTSE, kukuhkan keyakinan pelabur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations raih penarafan ESG 3 bintang FTSE, kukuhkan keyakinan pelabur

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 DisJohor Plantations Group Berhad (JPG) mencatat satu lagi pencapaian penting agenda kelestarian selepas meraih penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 3 bintang.


Tambahnya, kejayaan tersebut diperoleh di bawah rangka kerja FTSE Russell ESG Ratings, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasaran dan keyakinan pelabur terhadap kumpulan perladangan berkenaan.


Penarafan itu katanya, menyokong kemasukan JPG ke dalam FTSE4Good Bursa Malaysia Index berkuat kuasa mulai 22 Disember 2025, selaras dengan pengumuman Bursa Malaysia pada 11 Disember 2025.


"Selain FTSE4Good, JPG turut disenaraikan dalam FTSE Bursa Malaysia Shariah Index, mencerminkan piawaian tadbir urus serta pematuhan kepada operasi patuh Syariah," katanya dalam kenyataan.

 

 

 

 

 

 


JPG juga ada perwakilan kukuh dalam beberapa indeks utama FTSE Bursa Malaysia, antaranya FTSE Bursa Malaysia Mid 70 Index, yang melayakkannya disenaraikan di FTSE Bursa Malaysia Top 100 Index.


Selain itu, JPG tersenarai di FTSE Bursa Malaysia Palm Oil Plantation Index dan FTSE Bursa Malaysia Emas Shariah Index, yang turut meningkatkan keterlihatan sahamnya dalam kalangan pelabur institusi.


Di peringkat global, JPG terus memperkukuh reputasi kelestariannya selepas mencatat peningkatan ketara dalam penilaian SPOTT 2025, apabila menduduki kedudukan keenam berbanding ke-14 pada 2024.


"SPOTT menilai 100 pengeluar, pemproses dan pedagang minyak sawit global yang berdasarkan tahap pendedahan awam terhadap struktur organisasi, dasar serta amalan ESG," jelas kumpulan tersebut.


Sementara itu dalam perkembangan lain katanya, pembangunan projek utama JPG iaitu Integrated Sustainable Palm Oil Complex (iSPOC) di Sedili, Johor, terus mencatat kemajuan yang positif.


Jelas kumpulan berkenaan, setakat Disember 2025, projek tersebut sudah berjaya melepasi 60% tahap penyiapan dan dijangka berada di landasan untuk disiapkan menjelang tempoh separuh pertama 2026.


Apabila kompleks itu siap, iSPOC dijangka menyokong strategi integrasi hiliran JPG serta meningkatkan daya tahan operasi jangka panjang kumpulan dalam persekitaran industri yang semakin mencabar.

 

 

 

 

 


"Secara keseluruhan, pengiktirafan ESG, kemasukan ke dalam pelbagai indeks FTSE serta kemajuan projek strategik ini menegaskan komitmen JPG terhadap pertumbuhan bertanggungjawab," katanya.


Kumpulan ditubuhkan pada 1978 itu terus mencipta nilai jangka panjang, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan agribisnes bersepadu yang mampan. - DagangNews.com