KUALA LUMPUR 18 Feb - Johor Plantations Group Bhd (JPG) dianggar terus mencatatkan pendapatan kukuh pada FY25 didorong purata harga jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, kata RHB Research.
Katanya, ASP MSM pada 4QFY24 berada pada paras RM4,826 bagi setiap tan menjadikan ASP pada FY24 kepada RM4,331 setiap tan (+3.6% premium berbanding harga Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)).
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu tidak menjual ke hadapan keluarannya, tetapi mengunci premium berbanding harga MPOB untuk 60% hingga 70% daripada keluarannya pada tahun 2025, antara RM130 hingga RM200 setiap tan.
"Secara keseluruhan, kami menyemak naik pendapatan kumpulan sebanyak 5% dan 7% pada FY25 dan FY26 selepas melaraskan andaian pertumbuhan buah tandan segar (BTS) dan kos unit yang lebih rendah.
"Kami memperkenalkan pendapatan FY27 dengan harga MSM MPOB sebanyak RM4,100/tan," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Johor Plantations pada FY24 meningkat 54.5% kepada RM256.1 juta didorong kecemerlangan operasi, strategi perniagaan
Terdahulu, prestasi positif itu disokong peningkatan 21.7% dalam hasil tahun ke tahun pada FY24, meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.3 bilion pada FY23.
Johor Plantations juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) sebanyak RM346.2 juta daripada RM186.92 juta FY23, peningkatan luar biasa sebanyak 85.2% daripada tahun sebelumnya.
Pada 4QFY24, PBT melonjak 47.4% kepada RM104.3 juta daripada RM70.7 juta pada 4QFY23. Keuntungan bersih kumpulan meningkat 29% kepada RM79.9 juta pada 4QFY24 daripada RM61.9 juta pada 4QFY23
RHB Research berkata, pengurusan menjangkakan berlaku sedikit peningkatan dalam kos buruh kesan daripada kenaikan gaji minimum (peningkatan RM2 juta setahun) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2% untuk pekerja asing (pertambahan RM1.5 juta setahun).
Firma penyelidikan itu menurunkan andaian unit kos MSM selepas mengambil kira kos baja yang lebih rendah sebanyak 2% bagi FY25 dan FY26.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM1.65 sesaham," katanya. - DagangNews.com








