Untung bersih Johor Plantations pada FY24 meningkat 54.5% kepada RM256.1 juta didorong kecemerlangan operasi, strategi perniagaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Johor Plantations pada FY24 meningkat 54.5% kepada RM256.1 juta didorong kecemerlangan operasi, strategi perniagaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Feb - Untung bersih Johor Plantations Group Bhd (JPG) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat 54.5% kepada RM256.1 juta berbanding RM165.7 juta pada tahun sebelumnya didorong kecemerlangan operasi dan strategi perniagaan.

 

Kumpulan itu berkata, prestasi positif itu disokong peningkatan 21.7% dalam hasil tahun ke tahun pada FY24, meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.3 bilion pada FY23.

 

JPG juga mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBT) sebanyak RM346.2 juta daripada RM186.92 juta FY23, peningkatan luar biasa sebanyak 85.2% daripada tahun sebelumnya.

 

 

"Pada suku keempat 2024 (4QFY24), PBT melonjak 47.4% kepada RM104.3 juta daripada RM70.7 juta pada suku keempat 2023 (4QFY23). Secara berturut-turut, keuntungan bersih kumpulan meningkat 29% kepada RM79.9 juta pada 4QFY24 daripada RM61.9 juta pada 4QFY23," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Lembaga pengarah kumpulan  mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.75 sen sesaham bagi suku tersebut, memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya dengan jumlah dividen sebanyak 5.25 sen sesaham untuk tahun tersebut.

 

Dengan ini, jumlah pembayaran dividen berjumlah 51% daripada keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) bagi tahun tersebut.

 

Kumpulan itu mencatatkan peningkatan 9.3% dari segi pengeluaran buah tandan segar (BTS) kepada 1.1 juta tan metrik serta peningkatan hasil kepada 22.4 tan bagi setiap hektar pada FY24.

 

Kejayaan operasi ini diperkuatkan oleh lonjakan 10.2% dalam volum penghantaran minyak sawit mentah (MSM) kepada 298,024 tan metrik daripada 270,347 tan metrik pada FY23 selain peningkatan 6.6% dalam volum penghantaran isirung sawit (PK) kepada 77,436 tan metrik pada FY24 daripada 72,675 tan metrik pada FY23.

 

JPG juga mencatatkan peningkatan 8.6% dalam purata harga jualan MSM sebanyak RM4,826 bagi setiap tan serta peningkatan 29.3% dalam purata harga jualan PK sebanyak RM3,543 setiap tan.

 

Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, secara keseluruhannya pencapaian kumpulan pada tahun 2024 adalah memberangsangkan disokong inistiatif strategik dan komitmen berterusan mereka.

 

Beliau berkata, ia termasuk kejayaan penyenaraian JPG di Pasaran Utama Bursa Malaysia, permintaan positif daripada terbitan Sukuk, dan kemasukan mereka dalam industri hiliran melalui perjanjian usaha sama dengan Fuji Oil Asia dan pembangunan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC).

 

“Dengan bimbingan daripada lembaga pengarah, kami juga berada di landasan yang baik untuk mencapai kejayaan dalam perjalanan pertumbuhan kami, mengembangkan aliran pendapatan melangkaui perladangan huluan semata-mata.

 

"Tahun ini, kami tetap teguh dengan komitmen untuk menyampaikan hasil. Kami akan terus mengejar kecemerlangan di setiap peringkat, meningkatkan keupayaan teras sambil meletakkan kumpulan untuk pertumbuhan yang mampan dan merebut peluang baharu," katanya. - DagangNews.com