KUALA LUMPUR 16 April – Johor Plantations Group Berhad (JPG) terus mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan peningkatan pendapatan dan keuntungan, disokong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi serta kecekapan operasi yang semakin baik di seluruh rantaian nilai kumpulan.
Syarikat perladangan itu merekodkan hasil sebanyak RM1.72 bilion, meningkat 13.10 peratus berbanding RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya, dipacu oleh harga purata minyak sawit dan minyak isirung sawit yang lebih baik serta sumbangan pengeluaran yang stabil.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan selepas cukai turut meningkat kepada RM343.64 juta, berbanding RM256.05 juta pada tahun kewangan 2024, hasil daripada pengurusan kos yang lebih berdisiplin serta peningkatan kecekapan operasi ladang dan kilang.
JPG turut mengisytiharkan dividen sebanyak 7 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, meningkat berbanding 5.25 sen pada tahun sebelumnya, selaras dengan komitmen kumpulan untuk memberikan pulangan berterusan kepada pemegang saham.
“Dari segi operasi, pengeluaran tandan buah segar (FFB) mencatatkan 1.13 juta tan metrik, hampir sama dengan tahun sebelumnya, namun hasil per hektar meningkat kepada 22.82 tan metrik sehektar, melepasi purata industri di Johor dan Semenanjung Malaysia.
“Pengeluaran minyak sawit mentah pula meningkat 7.5 peratus kepada 320,528 tan metrik, disokong oleh peningkatan bekalan buah daripada sumber luar serta pengurusan ladang yang lebih efisien,” katanya dalam makluman tersebut.
Salah satu tumpuan utama kumpulan ialah pembangunan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) di Sedili yang kini mencapai kira-kira 65 peratus siap setakat Disember 2025 dan dijangka memulakan operasi komersial penuh menjelang suku keempat 2026.
Projek bersepadu itu akan merangkumi penapisan minyak sawit khusus, kilang sawit, loji makanan ternakan serta kemudahan tenaga boleh diperbaharui berasaskan biomas dan biogas yang menyokong model ekonomi kitaran yang lebih lestari.
Dalam aspek kelestarian, JPG mengekalkan komitmen terhadap amalan bebas penebangan hutan dengan 100 peratus ladang diiktiraf di bawah piawaian Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), selain mencapai kebolehkesanan penuh bagi ladang milik sendiri dan pembekal luar.
Kumpulan itu turut memperkukuh kedudukan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan mencapai penarafan 3 bintang dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia serta peningkatan kedudukan dalam penilaian SPOTT kepada tempat keenam dunia dengan skor 95.10 peratus.
Dari segi kedudukan kewangan, JPG mengekalkan nisbah hutang yang stabil pada 0.54 kali walaupun melaksanakan pelaburan besar, termasuk melalui program Sukuk Wakalah bernilai RM200 juta yang mendapat sambutan tinggi daripada pelabur.
Melangkah ke hadapan, JPG menjangkakan prospek industri minyak sawit kekal mencabar namun optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang, disokong oleh peningkatan produktiviti ladang, pengembangan aktiviti hiliran serta pelaksanaan fasa seterusnya projek iSPOC yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan. - DagangNews.com








