Johor miliki loji bekalan air dirawat skala besar pertama khusus operasi pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor miliki loji bekalan air dirawat skala besar pertama khusus operasi pusat data

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — Johor mencipta sejarah apabila memiliki loji bekalan air dirawat berskala besar pertama yang dikhususkan untuk operasi pusat data yang terletak di Ulu Tiram, Johor Bahru.

 

Presiden Bridge Data Centres (BDC), Eric Fan berkata, projek tersebut yang bermula 10 bulan lalu, meliputi sistem paip penuh untuk mengangkut air sisa perbandaran terus ke kemudahan rawatannya.

 

Tambahnya, ia turut mempunyai semua saluran paip yang membawa air sisa perbandaran ke loji rawatan sebelum dirawatnya dengan air tulen bergred tinggi untuk digunakan semula kepada pusat datanya.

 

"Secara keseluruhan, ini adalah projek contoh untuk membantu kerajaan Malaysia dan Johor menangani isu kekangan air bagi industri. Saya berpendapat ia seperti penanda aras untuk sektor pusat data.

 

"Saya yakin ini adalah yang pertama di Malaysia dan percaya setakat ini belum ada pihak lain yang sudah membina loji bekalan air dirawat bersaiz besar ini khusus untuk tujuan pusat data," katanya.

 

Terdahulu, Eric mengiringi lawatan ke loji BDC itu di Desa Cemerlang, Ulu Tiram oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Turut hadir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri berkenaan, Lee Ting Han.

 

Mengulas lanjut, Eric berkata, kemudahan itu adalah penanda aras sektor pusat data di Malaysia, dengan menyatakan ia adalah loji bekalan air pulih guna yang berskala besar pertama di negara ini.

 

"Ia dibina khas untuk penyejukan pusat data dan apa yang dilihat bukan hanya loji, tetapi ada juga pembinaan saluran paip yang menghubungkan terus ke Loji Rawatan Kumbahan Pelangi Indah," katanya.

 

Projek BDC tersebut tambahnya, sudah lama beroperasi dan kini dalam peringkat akhir ujian serta pentauliahan dengan inisiatif itu menggalakkan kelestarian melalui penggunaan efluen terawat.

 

Kelazimannya kata Eric, bahan tersebut akan dilepaskan semula kepada alam sekitar, namun loji berkenaan tidak mendapatkan sumber air daripada sungai sedia ada, malah memanfaatkan efluen itu.

 

Di bawah projek ini tambah beliau, sebanyak empat juta liter sehari efluen terawat dari Loji Rawatan Kumbahan Johor Bahru-Pelangi Indah Water Konsortium dibekalkan ke loji penambakan air BDC.

 

Johor Special Water Sdn Berhad katanya, akan menyelia penghantaran efluen yang dirawat dan menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan.

 

Air mentah yang telah selesai dirawat pula selepas itu akan digunakan dalam operasi penyejukan BDC. - DagangNews.com