KUALA LUMPUR 7 Nov – Johor terus mencatat kejayaan dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan di negeri itu, selaras titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail supaya tiada seorang pun Ketua Isi Rumah (KIR) di negeri itu berada dalam kategori miskin.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, titah tersebut disampaikan pada Mei 2024 dengan fokus memastikan usaha bersama antara kerajaan negeri dan pelbagai agensi dapat mencapai sasaran sifar golongan miskin tegar di seluruh negeri itu.
“Sejak pelaksanaan inisiatif itu, fasa pertama membabitkan 4,378 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang direkodkan pada Mac 2023 berjaya disifarkan sepenuhnya pada Julai 2024.
“Kejayaan ini diikuti fasa kedua yang membabitkan 1,360 KIR yang direkodkan pada Jun 2024, yang turut berjaya mencapai sasaran sifar pada April 2025.
“Kejayaan kedua-dua fasa ini mencerminkan komitmen serius kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat Johor, khususnya yang kurang berkemampuan, mendapat bantuan dan sokongan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Ketika ini, fokus kerajaan negeri beralih kepada kumpulan miskin yang membabitkan 8,249 Ketua Isi Rumah setakat 31 Oktober 2025.

Untuk rekod, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM317 per kapita manakala kategori miskin pula melibatkan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM735 per kapita.
Tambahnya, pendekatan yang dilaksanakan bertujuan untuk menangani kemiskinan secara menyeluruh dan berperingkat, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara inklusif dan berkesan.
“Kerajaan Negeri Johor dengan kerjasama agensi kerajaan persekutuan, berikhtiar menghapuskan kemiskinan melalui pendekatan holistik yang menekankan peningkatan taraf hidup, pembangunan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Semua agensi dan pihak berkaitan diseru untuk terus turun padang, memastikan setiap dasar, program dan pelan tindakan dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kecekapan, dan keberkesanan.
“Langkah ini bertujuan supaya setiap rakyat benar-benar merasai nikmat pembangunan, kemakmuran, dan sokongan kerajaan di semua peringkat,” katanya. - DagangNews.com








