KUALA LUMPUR 23 Jun — Kerajaan Johor, yang negeri itu kini merupakan hab ekonomi berkembang pesat di Malaysia, yakin menarik pelaburan sehingga RM100 bilion menjelang akhir tahun ini.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, negeri itu sudah memperoleh RM30.1 bilion dalam pelaburan diluluskan pada suku pertama, dan kini memerlukan baki kira-kira RM70 bilion lagi.
Pencapaian itu jika dicapai dalam tempoh sembilan bulan bukan sekadar mencapai sasaran, malahan meletakkan Johor kukuh dalam peta sebagai destinasi pelaburan terkemuka di rantau ASEAN.
“Kami yakin Johor bersedia mencapai hingga RM100 bilion menjelang akhir 2025, mengatasi RM48.5 bilion pada 2024,” katanya berucap pada Forum The Edge-HSBC JS-SEZ Forum 2025 di Johor Bahru.
Program tersebut dihadiri lebih 1,300 hadirin, secara bersemuka dan maya melalui Zoom, membincangkan perkembangan serta potensi masa depan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Inisiatif zon itu, sejak dimeterai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mula menarik perhatian pelabur domestik dan antarabangsa.
JS-SEZ ada sembilan bidang utama antaranya elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, makanan, logistik, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, kreatif serta kewangan.
Onn Hafiz menyasarkan untuk mengubah Johor menjadi negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030, dengan sasaran keseluruhan sebanyak RM260 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau yakin zon khusus tersebut mampu mewujudkan sejumlah 20,000 pekerjaan berpendapatan tinggi, dan sebanyak 50 projek pemangkin yang merangkumi 11 sektor berimpak tinggi kepada Johor sendiri.
Negeri itu telah melancarkan Pusat Pemudahcara Invest Malaysia Johor (IMFC-J) pada Februari 2025 sebagai pusat sehenti untuk menyelaraskan proses birokrasi dan mempercepatkan garis masa pelabur.
Fasiliti berkenaan diuruskan secara bersama oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi kerajaan negeri, Invest Johor.
Dalam tempoh lima bulan sahaja, IMFC-J merekodkan 439 pertanyaan, mengenal pasti 57 pelaburan berpotensi bernilai RM26.2 bilion, dan memperoleh enam pelaburan komited berjumlah RM16.7 bilion.
Masa pemprosesan juga dilaporkan telah berjaya dikurangkan pusat tersebut daripada selama tiga bulan kepada hanya sebulan, meletakkan Johor sebagai hab perniagaan yang dipacu aspek kecekapan.
"Kami tidak menunggu pelan induk JS-SEZ disiapkan, bahkan kami sudah bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menangani permintaan pelabur dan mempercepatkan kemudahan," kata Onn Hafiz.
Dalam ucapan pembukaannya, Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media Group, Datuk Ho Kay Tat, menyifatkan JS-SEZ sebagai salah satu titik terang di peta ekonomi Malaysia.
Beliau turut menekankan beberapa contoh kemajuan yang dicapai seperti projek Sistem Transit Rapid (RTS), yang direka bagi memudahkan aliran orang ramai bergerak pantas antara Johor dan Singapura.
"Tidak dinafikan, JS-SEZ adalah projek yang memang bercita-cita tinggi, dan walaupun banyak langkah positif telah diambil, laluan di hadapan sebenarnya masih lagi panjang," kata beliau.
JS-SEZ juga tambahnya, telah menarik minat pelabur antarabangsa melalui kelebihan lokasi, bakat dan akses kepada pasaran dengan kerjasama erat kerajaan Persekutuan serta negeri. - DagangNews.com








