Johor Bahru City Square jalani penambahbaikan besar-besaran selepas lebih setahun diambil alih Kuok Group | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Bahru City Square jalani penambahbaikan besar-besaran selepas lebih setahun diambil alih Kuok Group

Foto kredit pengurusan Johor Bahru City Square
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Nov – Setelah dimiliki semula oleh firma hartanah di bawah Kuok Group, Allgreen Properties pada pertengahan 2024, Johor Bahru City Square (JBCS) diubah suai secara besar-besaran. 


Transformasi inisiatif peningkatan aset (AEI) secara berperingkat itu bermula November 2025 dengan bakal menambah lebih 50 penyewa baharu menjelang suku keempat 2027 dan hotel apartmen pada 2028.


Menurut pengurus JBCS, Johdaya Karya Sdn Bhd, langkah terbaharu itu dijangka menjadikan JBCS sebagai hab gaya hidup bersepadu di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru sejak dibuka pada 1999.


"Kerja naik taraf ini menambah 4% keluasan lantai kepada 52,855 meter persegi, menempatkan lebih 300 penyewa dalam sektor fesyen, gaya hidup, teknologi dan rekreasi," katanya dalam kenyataan.


Jelasnya, antara kemudahan baharu bakal diperkenalkan ialah taman pengembaraan kanak-kanak seluas 1,394 meter persegi serta hab kesihatan dan kesejahteraan yang berkeluasan 3,837 meter persegi.


Pihak pengurusan menegaskan yang pusat beli-belah berusia 26 tahun dan dianggap sebagai paling lama beroperasi di Johor Bahru itu akan kekal beroperasi normal sepenuhnya sepanjang tempoh AEI.


Usaha itu turut disokong pelancaran sistem transit pantas Johor Bahru–Singapura (RTS) Link pada akhir 2026, dengan kapasiti 10,000 penumpang sejam dan meningkatkan kemasukan pelancong dari luar.


Allgreen Properties, ahli kumpulan Kuok dimiliki taikun perniagaan Tan Sri Robert Kuok, memperoleh semula JBCS dalam urus niaga bernilai kira-kira RM850 juta, dua dekad selepas menjual ekuitinya kepada GIC.


Sementara itu, Pengarah Urusan Allgreen, Tho Leong Chye berkata, projek AEI bukan sekadar memberi wajah baharu kepada JBCS, tetapi akan membentuk destinasi masa depan yang lebih dinamik di Johor sendiri.


“JBCS sudah lama menjadi lokasi kegemaran utama pembeli tempatan dan pelancong. Dengan gabungan jenama serta pengalaman baharu, kami komited memastikan JBCS kekal sebagai nadi gaya hidup,” katanya.


Selain JBCS, portfolio runcit Allgreen itu turut merangkumi beberapa kompleks beli-belah utama di Singapura, antaranya ialah Great World, Pasir Ris Mall, Tanglin Mall, Tanglin Place dan The Seletar Mall.


Dalam perkembangan berkaitan, Sunway Group memajukan projek pembangunan bersepadu Bukit Chagar di kawasan bersebelahan stesen RTS Bukit Chagar, yang dihubungkan terus ke Kompleks ICQ Johor Bahru.


Fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan kemudahan parkir bertingkat dengan 850 petak kereta dan 1,015 petak motosikal, yang dijangka siap serta dibuka kepada umum menjelang 30 November 2026.


Projek tersebut turut menampilkan pusat beli-belah seluas 37,161 meter persegi, hab kesihatan, institusi pendidikan, komponen hospitaliti serta sejumlah unit kediaman. - DagangNews.com